DAFTAR: Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap ADUN Kakus Datuk John Sikie Tayai (kanan) mendaftar untuk menerima suntikan vaksin.

BINTULU: Masyarakat digesa mengambil suntikan vaksin COVID-19 susulan proses pendaftaran bagi mereka yang hendak mendapatkan vaksinasi belum memuaskan di bahagian ini.

Residen Bahagian Bintulu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu Jack Aman Luat berkata, orang ramai digalakkan mendaftar menggunakan MySejahtera atau melalui pejabat daerah yang menyediakan borang untuk diisi oleh penduduk kawasan pedalaman dan sebagainya.

“Setakat ini, respons belum memuaskan mungkin dalam proses tunggu dan lihat tetapi kita berharap selepas ini dengan kebanyakan wakil rakyat mendapatkan suntikan maka lebih ramai orang mendaftar,” katanya ketika ditemui semasa Program Vaksinasi COVID-19 di Dewan Sri Kenyalang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) kelmarin.

Menurutnya, saluran membuat pendaftaran boleh dilakukan melalui MySejahtera dan secara manual melalui pejabat-pejabat daerah menggunakan borang ‘google’.

Katanya, pada masa ini mereka berdaftar melalui borang di pejabat daerah untuk Bintulu adalah 9,758 orang secara dalam talian manakala 766 orang menggunakan borang pejabat daerah.

“Di daerah Tatau, kita ada seramai 3,305 orang mendaftar menggunakan manual tidak termasuk MySejahtera diikuti daerah Sebauh seramai 3,952 orang,” katanya.

Begitupun, pendaftaran melalui MySejahtera masih berterusan meskipun belum berpuas hati dengan jumlah pendaftarannya sebab kita menganggarkan semuanya lebih kurang 181,000 penduduk layak mendaftar di Bintulu termasuk Tatau dan Sebauh.

“Jadi harapan kita selepas berakhirnya pemberian vaksin fasa satu hari ini(kelmarin) hingga April dan April hingga Ogos nanti vaksinasi fasa dua dan fasa tiga dapat dilaksanakan,” jelasnya.

SUNTIKAN: Dr Melvin menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19.

Beliau berkata, untuk program fasa dua bagi mereka yang mempunyai co-morbid (seperti penyakit kencing manis, darah tinggi dan kegagalan fungsi buah pinggang) termasuk berumur dan seterusnya untuk fasa tiga berumur 18 tahun ke atas.

Jack mengharapkan penduduk menerima suntikan vaksin tidak risau dan seperti dapat dilihat tiga Ahli Yang Berhormat menjalani vaksinasi bersama barisan hadapan keadaannya tiada kesan apa-apa sakit kerana apabila disuntik ubat mengalir dalam badan cuma ada rasa kesan suntikan.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung berkata setiap suntikan vaksin memang ada kesan sampingan melibatkan sakit tangan, rasa lenguh dan kemungkinan mengalami demam dan sebagainya.

Begitupun, beliau berharap semua pihak dapat mengikuti garis panduan dan mengikuti arahan-arahan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di laman sesawang atau laman sesawang Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).