DISELAMATKAN: Seorang gelandangan sedang tidur di kawasan awam diselamatkan dalam satu operasi gelandangan di sekitar bandar raya Miri, Tudan dan Permyjaya, malam kelmarin.

MIRI: Seramai lima lelaki tempatan dan seorang lelaki dari Brunei Darussalam diselamatkan dalam satu Operasi Bersepadu Menyelamat Gelandangan Siri 2/2021 di sini malam kelmarin.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, operasi bersepadu itu dilakukan di kawasan bandar raya Miri, Tudan dan Permyjaya di sini.

“Operasi berjaya menyelamatkan enam gelandangan terdiri daripada lima lelaki berstatus warganegara dan seorang bukan warganegara iaitu dari Brunei Darussalam,” katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.

Pegawai Pejabat Kebajikan Bahagian (PKMB) Miri Lau Ngee Wei berkata semua gelandangan itu ditempatkan Pusat Penempatan Sementara Gelandangan (PPSG) Miri di Dewan Kampung Lereng Bukit, di sini.

Semua lelaki itu menjalani saringan kesihatan sebelum ditempatkan di PPSG.

Terdahulu, satu laporan diterima menteri bertanggungjawab terhadap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri itu daripada orang awam mengenai isu gelandangan.

Susulan itu, satu mesyuarat diadakan bersama Pejabat Residen Bahagian Miri dan PKMB Miri bagi tujuan melancarkan satu operasi yang dijalankan Jumaat lalu.

Operasi Bersepadu Menyelamatkan Gelandangan Siri 2/2021 diadakan dari jam 9 malam hingga lewat malam dianjurkan oleh Pejabat Residen Bahagian Miri.

Ia diserta 12 anggota PKMB Miri, tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), sembilan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan Miri (AADK) dan lapan anggota Majlis Bandaraya Miri (MBM).