DITERBANGKAN: Keadaan atap rumah musnah dan tercabut akibat tiupan angin kencang di Betong, petang kelmarin.

BETONG:Penghuni Rumah Edward Benang, Batu Lintang, Layar cemas apabila bumbung rumah pertama daripada 41 pintu diterbangkan angin kencang yang melanda kawasan Betong kelmarin.

Ribut membadai bermula sekitar jam 5 petang itu dengan kekuatan luar biasa turut membawa hujan lebat.

Kejadian hanya disedari apabila melihat atap rumah di bilik nombor 1 terbabit tercabut dan melayang akibat hentaman angin kencang itu.

Menurut penghuni bilik tersebut, Dunstan Nyaring Jablin, 33, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika ribut serta hujan.

Dalam keadaan panik, penghuni tidak dapat berbuat apa-apa selain berserah kepada nasib dan hanya mampu mengalihkan sebahagian barangan yang ada.

Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Betong (MDB) Kaunselor Horace Entoi yang dimaklumkan berhubung kejadian itu, menyampaikan maklumat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) Bahagian Betong dan menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong.

Berikutan itu, pihak berwajib bertindak hadir ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat mengenai kejadian.

Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku melibatkan kemalangan jiwa sebaliknya hanya bahagian bumbung rumah berukuran 30x20 kaki itu rosak.