SUDAH DIVAKSIN: Jamilah merakam kenangan selepas menerima suntikan vaksin.

KUCHING:Seramai 30,000 daripada 38,052 warga Lundu dianggarkan akan menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam tempoh Mac hingga Disember tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu berkata, pengagihan vaksin ini akan dilaksanakan secara berperingkat.

Setakat ini katanya, seramai 16,524 permohonan daripada penduduk kawasan ini  sudah diterima sebagai penerima vaksin COVID-19.

“Kesemua permohonan tersebut membabitkan 104 kampung. Bagaimanapun, hanya enam kampung masih belum menghantar permohonan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima suntikan vaksin jenis Pzfier-Biontech pada Program Vaksinasi Daerah Lundu di sini, pada Jumaat.

Sehubungan itu, Jamilah meminta rakyat di konstituensinya segera mendaftar sebagai penerima vaksin di aplikasi MySejahtera atau pejabat daerah mahupun pejabat residen.

“Tindakan ini bukan hanya untuk jaga diri kita sendiri tapi juga untuk keluarga kita dan komuniti keseluruhannya,” kata beliau.

Hadir sama, Pegawai Daerah Lundu Gustian Durani, Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lutin dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lundu Putra Ila.

Dengan mengambil tindakan sedemikian, kita yakin usaha memutuskan rantaian COVID-19 dapat ditangani bahkan masyarakat boleh kembali kepada kehidupan biasa namun dengan amalan norma baharu,” ujarnya