KUCHING: Kampung Tringgus di Bau dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selepas kes positif COVID-19 dikesan di kampung itu. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan berkata arahan PKPD ini berkuat kuasa mulai 8 Mac hingga 21 Mac. 

“Keputusan ini dibuat memandangkan kes positif dari kampung ini kian meningkat,” katanya. 

Susulan arahan PKPD ini, mereka yang ingin membuat sumbangan makanan ke kawasan terlibat hendaklah berhubung dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (Residen) masing-masing. 

Orang ramai atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga diminta untuk tidak berkumpul dan menghantar makanan ke kawasan PKPD kerana kawasan tersebut berisiko dan akan mengganggu operasi.