KUCHING: Seorang suspek kes jenayah dadah yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan disahkan positif COVID-19.

Perkara tersebut disahkan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail (gambar), sambil mengatakan suspek lelaki terbabit telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya lagi, IPD Padawan juga kini sedang berususan dengan KKM untuk tindakan selanjutnya.

"Betul ada kes positif melibatkan seorang suspek yang ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB). Buat masa ini, pihak IPD sedang berurusan dengan KKM untuk tindakan sanitasi dan mengesan kontak rapat suspek ini termasuk pegawai dan anggota polis," katanya semasa dihubungi.

Tambahnya juga, semua anggota dan pegawai yang terlibat akan terus diarahkan membuat calitan COVID-19.

Pada minggu lepas, dua tahanan polis dalam kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching juga positif COVID-19.

Ekoran itu tercetus satu kluster baharu - Kluster Jalan Green mengambil sempena lokasi insiden pergaduhan pada 14 Feb membabitkan tahanan tersebut.