Sekatan jalan raya oleh polis bagi mengawal keluar dan masuk orang ramai ke Kampung Empuruh Jambu.

KUCHING: Penduduk luar dari Kampung Emperuh Jambu yang menghadiri upacara pengkebumian di kampung tersebut dari 3 hingga 5 Februari lepas diminta tampil untuk membuat calitan COVID-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Datuk Dr Jerip Susil berkata perkara tersebut perlu susulan terdapat kes di mana dua keluarga iaitu di Kampung Petag dan Simboh di Padawan juga disahkan positif COVID-19.

Menurutnya, kedua-dua keluarga tersebut hadir upacara pengkebumian.

"Dingatkan juga kepada semua pihak yang pernah menghadiri upacara pengebumian tersebut agar tampil dan memberi kerjasama untuk melakukan saringan kesihatan (calitan) di mana-mana klinik kesihatan yang berdekatan.

"Ini kerana kita difahamkan ada penduduk dari kampung lain yang ada hadir di upacara tersebut juga disahkan positif COVID-19, iaitu di Petag melibatkan sepasang suami isteri serta dua anak mereka dan satu lagi keluarga di Kampung Simboh," katanya ketika ditemui pemberita hari ini semasa memantau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Emperuh Jambu.

Jelasnya, kampung tersebut diisytiharkan PKPD ekoran terdapat 42 pengesanan kes aktif positif COVID-19 bagi Kluster Emperoh Jambu setakat 22 Feb.

"Dinasihatkan juga kepada Penduduk Kampung Emperoh Jambu agar bersabar dan sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di dalam SOP PKPD.

"Orang awam serta orang luar juga dinasihati agar mengelakkan melakukan sebarang lawatan ke Kampung Emperoh Jambu sepanjang tempoh PKPD diperkenalkan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini," katanya.

Sementara Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Negeri Sarawak Billy Sujang yang turut sama membuat pemantauan tersebut berkata esok akan diadakan saringan kesihatan untuk semua penduduk Kampung Emperuh Jambu.

"Esok akan diadakan calitan menyeluruh untuk semua penduduk kampung kerana kita risau ada penduduk yang telah dijangkiti tetapi tiada gejala.

"Jadi kita mohon semua penduduk kampung memberi kerjasama untuk membuat calitan di lokasi yang telah ditetapkan iaitu berdekatan bangunan gereja baharu Kampung Jambu," katanya.

Difahamkan terdapat seramai 434 penduduk daripada 96 buah keluarga yang masih menetap di kampung tersebut.

Terdapat dua sekatan jalan raya didirikan di jalan keluar masuk kampung tersebut yang dikawal oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dan RELA.