Tedy (tengah) keluar dari kamar mahkamah setelah dijatuhkan hukuman.

KUCHING: Perbuatan seorang lelaki warga Indonesia yang memberi rasuah kepada seorang pegawai imigresen pada Januari lalu membawa padah apabila dia didenda RM2,300 di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Tedy Gunawan, 33, selepas dia mengaku bersalah mengikut pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan. 

Mahkamah juga menetapkan tertuduh dikenakan sebulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh dilaporkan gagal membayar denda tersebut. 

Mengikut pertuduhan alternatif, pekerja kilang itu didakwa memberikan rasuah sebanyak RM2,300 kepada pegawai imigresen Azmi Drahman, sebagai pertimbangan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963. 

Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 21 Januari lalu, antara jam 8 dan 8.30 pagi di Pejabat Unit Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, Bangunan Sultan Iskandar dekat sini. 

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh ditahan oleh pegawai Jabatan Imigresen dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Hillview, Kota Samarahan, akibat tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih tempoh di Malaysia. 

Tertuduh kemudian dibawa ke pejabat JIM untuk tindakan lanjut.

Semasa siasatan dijalankan, tertuduh mengaku permit kerja miliknya telah tamat pada 2018 dan pas lawatan sosial tertuduh juga tamat pada 2019. 

Azmi seterusnya menerangkan bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Tertuduh seterusnya merayu dan menawarkan rasuah kepada pegawai tersebut supaya tidak diambil tindakan undang-undang.

Sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh merayu agar tidak dikenakan hukuman berat dengan alasan dia merupakan punca pendapatan bagi keluarganya serta ibunya juga sedang sakit. 

Tertuduh juga memaklumkan mahkamah yang dia mahu berkahwin pada bulan ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ikhwan Mohd Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.