Kereta wanita warganegara Brunei dan kereta polis yang terbabit dalam kejar mengejar.

LAWAS: Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta yang dipandu seorang wanita warganegara Brunei dalam satu insiden kejar mengejar di pusat bandar ini pada Selasa (23 Feb).

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Roslan Leman berkata tembakan itu adalah untuk menghentikan pergerakan kereta susulan arahan untuk memberhentikannya tidak dipedulikan wanita berkenaan setelah kejar mengejar sejauh 38 kilometer.

“Berlaku adegan kejar mengejar setengah jam antara polis dengan suspek menyebabkan kenderaan pasukan mengalami kerosakan akibat digesel kereta wanita tersebut sebelum kereta itu berjaya dihentikan.

“Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta berkenaan untuk memastikan suspek tidak melarikan diri,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam insiden pukul 10:30 pagi itu, wanita berumur 28 tahun berkenaan dikatakan merempuh Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Merapok, untuk memasuki daerah ini.

Dia yang berasal dari Kampung Benatik, Brunei  difahamkan memasuki ICQS Mengkalap Trusan dari Temburong Brunei, memandu hingga ke Merapok dan memasuki Sindumin Sabah sebelum berpatah balik ke ICQS  Merapok dan memasuki bandar ini.

Suspek dibawa ke Balai Polis Lawas untuk disoal siasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Hasil pemeriksaan lanjut,kata Roslan suspek didapati memiliki kad pengenalan negara Brunei namun tidak memiliki pasport. 

“Berdasarkan maklumat daripada ayah suspek, wanita ini yang diberhentikan pengajian di sebuah universiti di Brunei pernah mengalami masalah mental tiga tahun lepas akan menyambung kembali rawatan tersebut,” ujarnya.