HAZANI

KOTA KINABALU: Polis beri jaminan ketibaan bekalan vaksin COVID-19 kumpulan pertama di Sabah pada 25 Februari ini akan dikawal ketat sehingga proses penghantaran selesai dijalankan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, anggota polis akan mengiring kenderaan yang membawa bekalan vaksin berkenaan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) hingga ke pusat penyimpanan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Katanya, proses penghantaran bekalan vaksin jenis Pfizer-BioNTech ke pusat penyimpanan lain turut dikawal ketat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, tindakan berkenaan bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Ini juga bagi menjamin keselamatan semua pihak sepanjang proses penghantaran dilaksanakan.

"Selain itu, polis turut ditugaskan untuk membuat penghantaran bekalan vaksin sama ke Wilayah Persekutuan Labuan pada hari sama sejurus vaksin tiba di Kota Kinabalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hazani berkata, proses penghantaran bekalan vaksin ke Labuan dijangka menggunakan kapal terbang milik PDRM.