KOTA KINABALU: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mula dikuatkuasakan di Kampung Tanah Merah Kota Marudu pada 23 Februari sehingga 8 Mac 2021.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pengisytiharan PKPD itu susulan daripada peningkatan mendadak kes COVID-19  di lokaliti berkenaan.

Menurutnya, sebanyak 57 kes positif COVID-19 direkodkan bagi lokaliti terbabit hasil daripada 226 ujian saringan.

Sehubungan itu katanya, pelaksanaan PKPD adalah untuk memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 545 orang penduduk yang tinggal di lokaliti berkenaan dan seterusnya mengawal jangkitan COVID-19 dalam komuniti.

"Di Sabah, daripada 110 kes baharu positif COVID-19 yang dilaporkan pada 22 Februari lepas, sebanyak 44 kes (40 peratus) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala enam kes (5.5 peratus), saringan kluster sedia ada 48 kes (43.6 peratus), PERKESO satu kes (0.9 peratus) dan 11 kes (10 peratus) adalah dari lain-lain kategori.

"Jumlah kapasiti katil di hospital COVID-19 kekal 925 unit, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam berjumlah 3,913 unit dan jumlah katil di pusat tahanan sementara (PTS) atau penjara pula 1,000 unit," katanya di sini semalam.

Beliau berkata, ia menjadikan jumlah kapasiti katil ialah 5,838 unit dan peratus penggunaan katil pada 22 Februari adalah 13.48 peratus.

Masidi berkata, PKRC Politeknik Kota Kinabalu yang dibuka pada 9 Oktober 2020 ditutup secara rasmi pada 22 Februari untuk persediaan pembukaan kolej berkenaan.