TANGKAPAN: Kedua-dua suspek yang ditahan dibawa ke IPD untuk tindakan selanjutnya.

KALABAKAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya memberkas dua pengedar dadah bersenjata dalam satu serbuan kira-kira jam 5 petang di ladang kelapa sawit Suria, Batu 10, di sini.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, DSP Abd Halim Ahmad berkata berdasarkan maklumat awam yang diterima,
pasukan PGA yang menjalankan Op Benteng COVID-19 bertindak melakukan serbuan ke atas sebuah pondok di ladang tersebut.

"Dalam serbuan tersebut, pasukan PGA berjaya menahan dua lelaki masing-masing berumur 40 dan 47 tahun disyaki pengedar dadah yang aktif di kawasan tersebut.

"Hasil pemeriksaan, kedua-dua suspek berkenaan merupakan warga asing dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,"katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut yang dilakukan juga telah menemui sebuah beg hitam yang mengandungi sepucuk pistol buatan sendiri dan sebutir peluru hidup yang sudah diubah suai dipercayai milik salah seorang suspek.

"Turut ditemui juga sebuah bekas yang mengandungi 20 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.36 gram yang dianggarkan bernilai RM536.

"Selain itu, pasukan PGA turut menemui sebilah pisau berukuran 18cm dan keris berukuran 13cm di dalam beg hitam yang sama,"katanya.

Abd Halim berkata hasil pemeriksaan air kencing yang dijalankan kedua-dua suspek juga positif Methamphetamine dan Amphetamine.

RAMPASAN: Senjata api dan syabu yang berjaya ditemui dalam serbuan tersebut.

"Kesemua tangkapan serta rampasan tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut,"katanya.

Katanya, kedua-dua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (ABKLSB 1968).

"Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Imigresen 1959 (PIN 2002), Seksyen 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,"katanya.