KUALA LUMPUR: Permohonan untuk Geran Anugerah Merdeka bagi Penempatan Antarabangsa 2021 telah dibuka kepada lima individu yang layak seperti yang diumumkan oleh Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka hari ini.

Geran Anugerah Merdeka bagi Penempatan Antarabangsa berkenaan bertujuan memupuk pelajar dan profesional  Malaysia yang berkelayakan berumur antara 22 dan 35 tahun, serta menyokong perjalanan mereka untuk menjadi pemimpin masa depan yang akan memberi sumbangan positif kepada negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lembaga Amanah Tengku Muhammad Taufik berkata Geran Anugerah Merdeka sentiasa komited untuk mengekalkan kedudukannya sebagai landasan kepada golongan muda Malaysia yang berkelayakan untuk menjadi pemimpin masa depan dalam bidang masing-masing.

“Sejak bertahun-tahun, program ini telah menyediakan kemahiran dan kepakaran diperlukan yang menyaksikan pemimpin muda kita mengembangkan kebolehan luar biasa mereka untuk memajukan negara dan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Calon yang terpilih akan terlibat dalam program kerjasama jangka pendek selama tiga bulan di institusi luar negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Geran berkenaan meliputi pelbagai disiplin ilmu seperti pendidikan, seni visual dan persembahan, sukan, warisan, pekerjaan masyarakat dan sosial, ekonomi, kewangan, alam sekitar, kesihatan, sains dan teknologi.

Permohonan boleh dilakukan secara dalam talian di http://www.merdekaaward.my/The-Grant/Application.aspx  dan tarikh tutup permohonan adalah pada 3 Mei tahun ini.

Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman web www.merdekaaward.my. - Bernama