KERJASAMA: Leo (empat kiri) dan Zolkipli bertukar dokumen MoU yang telah dimeterai keduanya semalam.

KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Projek Orangutan Sdn Bhd (OPSB) telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara kedua-duanya untuk mempromosikan  pemeliharaan, ekopelancongan dan program sukarela di Pusat Hidupan Liar Matang.

Pada majlis itu SFC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Kontroler Hidupan Liar Zolkipli Mohamad Aton dan pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif mewakili OPSB Leo Biddle.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SFC Oswald Braken Tisen dan Abang Arabi Abang Aimran menjadi saksi MoU tersebut dilaksana di sini semalam.

Hubungan OPSB dengan SFC kini telah genap mencapai 15 tahun dan banyak projek kerjasama yang dijalankan antara kedua-duanya seperti melepaskan 100 ekor kongkang (Nycticebus borneanus) yang dirampas yang mana 20 peratus daripadanya dipantau selama enam bulan menggunakan kolar radio.

Data menunjukkan kemandirian binatang tersebut di dalam hutan sebanyak 80 peratus.

Binatang-binatang ini dirampas daripada pedagang haram, pengumpul dan pemburu dan rakyat Sarawak yang menyedari binatang tersebut merupakan haiwan lindungan.

Pihaknya juga melepaskan lima ekor tenggiling (Manis javanica) dan memantau cara yang sama selama tujuh bulan.

Kejayaan penjagaan anak Silvery Lutung (Trachypithecus cristatus) menjadi dewasa selain kerjasama bersama 2,000 sukarelawan SFC dan OPSB untuk Projek Orang Utan sejak 2005 dengan membina dan membaik pulih kemudahannya.

Zolkipli mengucapkan terima kasih kepada OPSB atas kerja mereka selama bertahun-tahun dan atas sokongan mereka dalam pemuliharaan.

“Pusat Hidupan Liar Matang akan terus menjadi platform kerja untuk hubungan tersebut.

“SFC juga akan secara aktif terlibat dengan OPSB yang merupakan pakar dalam bidang mereka untuk meningkatkan pemuliharaan dan perlindungan hidupan liar,” kata Zolkipli pada upacara tersebut.

Leo pada masa yang sama turut menyuarakan rasa senang dengan MoU tersebut dan akan berusaha membantu dalam melestarikan usaha SFC terhadap kesejahteraan hidupan liar dan habitatnya di sini.