TINJAU: Hendrus (tiga kanan) memberikan penerangan Hajiji (depan, kiri) ketika tinjauan ke tapak menempatkan ATM di pekan Tandek.

KOTA MARUDU: Kawasan Tandek memerlukan perkhidmatan perbankan dalam usaha mempermudahkan urusan penduduk di sekitarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek Hendrus Anding berkata, kawasan berkenaan didapati ketinggalan walaupun sudah memasuki tahun 2021, penduduk masih terpaksa ke Kota Marudu atau Kudat untuk berurusan dengan bank dan keadaan itu sangat menyukarkan.

"Bank perlu diwujudkan di DUN ini untuk memudahkan urusan penduduk, saya berharap lawatan kerja Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ke Pekan Tandek hari ini turut membawa sinar kerana beliau turut meninjau lokasi cadangan dan tapak menempatkan mesin mengeluar wang automatik (ATM) di Tandek.
 
“Saya amat berharap agar kemudahan bank dapat diwujudkan di pekan Tandek bertujuan mengurangkan kesesakan orang ramai terutamanya di masa pandemik COVID-19 ini yang mana kerajaan amat menekankan penjarakan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hendrus yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan berharap bank-bank seperti Bank Alliance dan Bank Pertanian dapat menyediakan mesin ATM mereka di Pekan Tandek untuk kemudahan rakyat. 

“Saya telah menghantar surat permohonan kepada bank-bank berkenaan untuk tindakan susulan. 

“Tambahan pula apa yang paling menyedihkan saya ialah apabila tibanya hari pembayaran gaji atau bantuan kerajaan, ada antara penduduk Tandek terpaksa bermalam di sekitar bank untuk menunggu giliran pada hari esoknya.

"Sehinggakan ada yang terpaksa ke daerah Kudat untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan. 

“Dengan adanya perkhidmatan bank, sekurang-kurangnya mesin ATM ia dapat menyuntik elemen kemajuan dan menceriakan pekan Tandek yang sepi serta suram. Secara tidak langsung juga akan dapat menguatkan ekonomi pekan Tandek," katanya.