BUKTI KES: Rohan (tengah) menunjukkan barang bukti kes yang dirampas.

LAHAD DATU: Polis di sini menahan dua lelaki warga asing dan merampas 1.3 kilogram (kg) dadah dalam kenderaan mereka di kawasan parkir sebuah kompleks beli belah di sini.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah bertindak menggerakkan operasi hasil maklumat awam.

Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad setelah kenderaan suspek dikesan dan dihampiri di kawasan parkir, seorang suspek pemandu bertindak agresif dengan cuba  melarikan diri namun berjaya dihalang anggota.

Manakala seorang suspek lagi yang duduk di bahagian hadapan tidak sempat melakukan sebarang tindakan lalu ditahan.

“Pemeriksaan yang dilakukan dalam kereta telah menemukan beg yang berisi satu paket bertulis ‘Refined Chinese Tea’ yang mengandungi ketulan hablur jernih seberat 1.3 kilogram disyaki dadah jenis syabu.

“Kenderaan suspek telah disita manakala wang tunai RM3,000 dan dua telefon bimbit suspek telah dirampas," katanya.

Siasatan selanjutnya mendapati dua suspek berumur 28 tahun dan 43 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan ujian saringan air kencing mereka negatif dadah.

Hasil rampasan dadah dalam kes ini dianggarkan bernilai RM36,297 manakala nilai sitaan bagi barang kes dianggarkan berjumlah RM79,297.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Menurut Rohan, polis akan terus komited dan tegas dalam usaha membenteras kegiatan jenayah narkotik di Lahad Datu.

Katanya, sepanjang dua bulan pertama tahun ini sebanyak 17 orang warga tempatan dan asing ditahan disyaki terlibat dalam jenayah pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

"Walaupun negara masih berhadapan dengan ancaman COVID-19, kami tetap memberi keutamaan pada usaha penugasan kami dan tidak akan membenarkan ada pihak mengambil kesempatan menjalankan kegiatan pengedaran dadah," katanya.