BERGAYA: Lautaro Martinez (kiri) meraikan gol kedua beliau pada perlawanan Serie A Itali di antara AC Milan menentang Inter Milan stadium San Siro di Milan, kelmarin. — Gambar AFP

MILAN: Jurulatih Inter Milan, Antonio Conte, memuji permainan ‘sempurna’ pasukannya selepas dua gol Lautaro Martinez dan satu gol Romelu Lukaku membantu kelab menewaskan kelab jiran, AC Milan 3-0, sekali gus menjarakkan kedudukan di singgahsana Serie A Itali pada Ahad.

Inter membuka jurang kelebihan empat mata berbanding Milan ketika kelab memburu kejuaraan liga yang pertama sejak memenangi tiga kejuaraan di bawah kendalian Jose Mourinho pada 2010.

“Pujian kepada pemain, mereka mempamerkan aksi luar biasa, melakukannya dengan sempurna,” kata Conte, yang memburu impian menamatkan harapan bekas kelabnya, Juventus memenangi kejuaraan liga buat kali ke-10 berturut-turut.

Lukaku berada dalam prestasi memberangsangkan, membantu dalam dua gol Martinez pada minit kelima dan 57 sebelum beliau sendiri menjaringkan gol liga ke-17 musim ini untuk berada di senarai teratas penjaring terbanyak liga setakat ini.

Milan, yang memburu kejuaraan liga yang pertama sejak 2011, tewas buat kali kedua berturut-turut dalam liga, kali pertama ia berlaku musim ini dengan impian kejuaraan mereka terjejas apabila tewas buat  kali keempat dari lapan perlawanan liga terakhir.

“Kami terjejas teruk tahun ini,” kata Martinez.

“Dua penyingkiran dalam Piala Itali dan Liga Juara-Juara, ini adalah satu-satu sasaran yang tinggi dan kami bersaing sepenuhnya untuk kejuaraan ini.”
Perlawanan berlangsung tanpa penonton di San Siro kerana pandemik Covid-19 tetapi ia tidak menghalang ribuan penyokong untuk berkumpul di luar stadium untuk pertemuan terakhir dua kelab berjiran kota Milan musim ini.

Ia adalah pertemuan berjiran ketika musim ini, dengan Milan menang 2-1 pada perlawanan pertama liga.

Inter menang, juga 2-1 pada perlawanan suku akhir Piala Itali, satu perlawanan dicemari pergaduhan di antara penyerang veteran Milan, Zlatan Ibrahimovic dan Lukaku.

Penyokong menunggu bas pasukan tiba, mengibarkan bendera dan menyanyi selain bom asap turut kelihatan sebelum pasukan memasuki stadium.

“Kehadiran penyokong menyambut kami di stadium memberikan saya rasa gemuruh,” kata Conte.

Conte memberi amaran kepada pasukannya untuk tidak terlalu yakin apabila menentang lawan seterusnya, Genoa yang berada di tangga ke-11 liga dan Parma  yang berada di kelompok bawahan.

“Dari segi psikologi, saya bimbang dengan dua perlawanan ini, pada perlawanan inilah kami harus menunjukkan kemampuan sebenar. Dua perlawanan ini akan menjelaskan apa yang boleh kami lakukan.”

Inter kelihatan lebih cergas selepas tersingkir awal dari Liga Europa, dengan Milan diikat 2-2 di Red Star Belgrade dalam aksi Liga Europa pada pertengahan minggu.

Dan Inter memulakan serangan dari awal dengan Lukaku mengancam dari sayap kanan di mana pemain pertahanan Milan, Simon Kjaer menghadang hantaran awal beliau sebelum bola melantun ke arah Martinez untuk melakukan tandukan ke pintu gol.

Ibrahimovic mempunyai peluang pada minit ke-15 tetapi penjaga gol Inter, Samir Handanovic beraksi tangkas.

Penjaga gol Milan, Gianluigi Donnaruma juga beraksi tangkas menepis cubaan  Ivan Perisic sebelum rehat.

Inter mengekalkan rentak selepas rehat dan menambah jaringan pada minit ke-57 apabila Martinez mengumpan hantaran Perisic sebelum Lukaku melengkapkan jaringan pada minit ke-66.

“Ia adalah minggu yang sukar, salah satu yang terburuk kami musim ini,” kata jurulatih Milan, Stefano Pioli.

Milan akan bertandang ke Roma minggu ini, yang seri tanpa jaringan dengan Benevento pada perlawanan lewat. — AFP