BERTENAGA: Pemain pertahanan Arsenal Rob Holding (kiri) bersaing dengan Sterling pada perlawnan Liga Perdana Inggeris di antara Arsenal dan Manchester City di Stadium Emirates di London, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Manchester City kekal 10 mata di singgahsana Liga Perdana Inggeris selepas gol Raheem Sterling sudah memadai untuk menewaskan Arsenal 1-0 sementara Tottenham Hotspur kecundang sekali lagi di West Ham United pada Ahad.

Manchester United dan Leicester City adalah  pencabar terdekat City ketika ini selepas United menewaskan Newcastle United 3-1 di Old Trafford dan Leicester menang 2-1 di Aston Villa.

Kemenangan  ke-18 berturut-turut dalam semua pertandingan meletakkan City semakin hampir untuk kejuaraan ketiga dari empat tahun terakhir, walaupun jika anak buah Pep Guardiola belum mencapai tahap tertinggi permainan mereka dalam beberapa minggu yang lalu.

Sterling boleh menjaringkan hatrik dalam lima minit pertama tetapi gol tandukannya dari hantaran Riyad Mahrez memastikan tiga mata penuh ketika City  mengelak pintu gol mereka dibolosi buat kali ke-10 dari 13 perlawanan liga terakhir.

“Orang fikir ia mudah. Ia sangat sukar,” kata Guardiola.

“Saya tidak menjangkakan konsistensi ini bulan lepas. Mencapai kemenangan dalam tempoh ini dengan keputusan 1-0 adalah apa yang kami perlukan.”

Arsenal kekal di tangga ke-10 dengan peluang terbaik untuk kembali beraksi di Eropah ialah dalam  Liga Europa pada musim hadapan.

Tottenham pula hanya berkelebihan dua mata di hadapan Arsenal di tangga kesembilan, sembilan mata di belakang slot di  tangga keempat – kelayakan terakhir ke Liga Juara-Juara selepas kekalahan kelima dari enam perlawanan liga  terakhir.

Spurs, yang dibimbing Jose Mourinho, hilang rentak selepas memulakan permainan dengan hambar di Stadium London dan tewas 1-2.

Michail Antonio membuka jaringan seawal minit kelima sebelum Jesse Lingard menjaringkan gol yang ketiga beliau dalam tempoh pinjaman dari Manchester United, dua minit selepas rehat untuk mendahului kedudukan 2-0.

“Keputusan ini adalah kerana pelbagai situasi dalam bola sepak. Cara saya dan kakitangan saya adalah yang terbaik berbanding orang lain,” kata Mourinho.

“Potensi kami adalah lebih tinggi dan kerana itu kenapa kami berasa sangat kecewa dengan keputusan ini.”

Tottenham merapatkan kedudukan menerusi gol Lucas Moura dan tidak bernasib baik apabila cubaan Gareth Bale dan Son Heung-min terkena palang pada lewat permainan.

Tetapi West Ham meningkatkan peluang memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan apabila memintas Chelsea ke tangga keempat dan kini berkelebihan dua mata berbanding kelab jirannya.

“Kami menikmati apa yang  berlaku tetapi kami tidak akan berasa terlalu mendabik dada,” kata pengurus West Ham, David Moyes, yang meraih kemenangan pertama ke atas Mourinho dari 16 perlawanan. “Kami akan cuba kekal tenang dan berharap kami terus memberikan saingan dengan pasukan di kelompok teratas.”

Manchester United menjarakkan kedudukan dengan kelebihan empat mata berbanding West Ham dan dalam masa yang sama menghampiri Newcastle ke zon penyingkiran.

Marcus Rashford membuka jaringan tetapi Allan Saint-Maximin mengikat kedudukan dalam masa yang singkat pada separuh masa pertama.

Daniel James meletakkan United kembali di hadapan sebelum penalti Bruno Fernandes melengkapkan jaringan untuk gol ke-22 beliau musim ini.

Kemenangan membolehkan United kekal di tangga kedua, di hadapan Leicester City dengan perbezaan gol.

Leicester berazam untuk tidak melakukan kesilapan yang sama musim lepas apabila membiarkan kelebihan mata yang besar berbanding Manchester  United dan Chelsea sebelum terlepas peluang layak ke Liga Juara-Juara pada hari terakhir musim.

“Mungkin sedikit keterujaan dari musim lepas,” kata pengurus Leicester, Brendan Rodgers.

“Musim ini, semuanya lebih tenang, menyedari bahawa kami harus terus berusaha dan tidak berasa teruja terlalu awal.”

James Maddison dan Harvey Barnes menjaringkan gol pada 23  minit pertama ketika Leicester menghukum Villa  yang beraksi tanpa kapten pasukan, Jack Grealish kerana kecederaan.

Villa merapatkan kedudukan tiga minit selepas rehat menerusi gol Bertrand Traore  tetapi kekurangan kreativiti Grealish menyukarkan mereka mencari  gol penyamaan. — AFP