PATUH SOP: Pelajar memeriksa suhu badan dan mencatat kehadiran mereka ke sekolah.

LAHAD DATU: Seramai 2,040 calon mencatat sejarahnya tersendiri dengan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di 11 sekolah di sini.

Daripada jumlah itu, seramai 1,916 calon sekolah kerajaan, swasta (28) dan calon persendirian (96) memulakan hari pertama SPM bagi menjawab kertas soalan satu dan dua matapelajaran Bahasa Melayu.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Silabukan yang mempunyai 134 pelajar SPM 2020 memulakan hari pertama peperiksaan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standart (SOP) dengan baik.

Pengetua SMK Silabukan, Abdul Wahit Ali Asgar ketika dihubungi berkata beliau berpuas hati dengan perjalanan SPM di sekolahnya kerana semua calon hadir dengan melaksanakan pematuhan SOP yang ditetapkan dengan baik seterusnya menduduki peperiksaan dengan teratur dan aman.

"Pihak sekolah telah merancang dan membuat persediaan awal seperti yang diarahkan lembaga peperiksaan dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

"Pelajar-pelajar memahami dan mematuhi SOP yang ditetapkan untuk mengelakkan jangkitan COVID-19," katanya.

Menurutnya, sebanyak 10 bilik peperiksaan disediakan termasuk tiga bilik persediaan atau rehat dan satu bilik isolasi untuk digunakan pelajar sekiranya ada yang mempunyai tanda-tanda bergejala COVID-19.

Abdul Walit berharap agar pelajar terus mengamalkan SOP yang ditetapkan dan dapat menamatkan SPM mereka tanpa sebarang kesulitan seterusnya melakukan yang terbaik untuk beroleh kecemerlangan dalam peperiksaan itu.

"Setelah melalui cabaran demi cabaran untuk menduduki SPM ini, saya yakin mereka berupaya beroleh kejayaan berkat usaha gigih mereka selama ini.

"Bagi pihak sekolah, kami telah berusaha sebaik mungkin bagi membantu pelajar agar prestasi akademik mereka tidak terjejas seterusnya kami mendoakan semuanya berjalan dan berakhir dengan baik," katanya.

PENJARAKAN FIZIKAL: Pelajar menjalani peperiksaan dalam suasana aman dengan pematuhan SOP. Abdul Walit (gambar kecil).

Kumpulan pelajar di SMK Silabukan itu menjadi sebahagian pelajar Tingkatan Lima di negara ini yang pertama kali dalam sejarah pendidikan negara menjalani sesi kelas tahunan terpanjang iaitu selama 14 bulan.

Namun akibat penularan pandemik COVID-19, kumpulan ini juga merekodkan tempoh pembelajaran bersemuka yang paling singkat iaitu empat bulan dan melengkapkan sesi pembelajaran secara dalam talian.

Untuk rekod, selain calon SPM 2020 sekolah kerajaan, Lahad Datu turut merekodkan seramai 28 calon dari sekolah swasta, calon persendirian (96) dan calon Sijil Vokasional Malaysia (84).