ABANG SUHORDIE

BETONG: Bukan mudah menggalas tugas sebagai barisan pengemudi pasukan menjadi harapan seluruh peminat bola sepak bagi membawa pasukan Sarawak United FC (SUFC) menjadi pasukan  digeruni dan cemerlang.

Kaunselor Abang Suhordie Abang Zaini menganggap kepercayaan diberikan oleh pengurusan SUFC dengan melantik beliau sebagai penolong pengurus pasukan merupakan satu amanah penting yang harus diterima.

“Terima kasih atas kepercayaan diberikan oleh pengurusan SUFC yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datuk Posa Majais namun saya menganggap tugas diamanahkan amat berat dan mencabar.

“Kepercayaan dan penghormatan diberikan adalah satu tanggungjawab dan amanah harus dipikul,” katanya selepas menerima surat pelantikan selaku Penolong Pengurus 1 Pasukan Liga Premier SUFC kelmarin.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA) itu menerima lantikan berkuat kuasa 1 Februari lalu hingga 30 November tahun ini bertekad memastikan amanah diberikan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Justeru, kepercayaan harus dibalas dengan kejayaan untuk mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Sarawak.

“Apapun saya ingin melihat pasukan bola sepak kita digeruni dan cemerlang seperti era sebelumnya.

“Hasrat saya juga ingin membawa pasukan SUFC berjaya bersaing pada Liga Premier 2021,” jelasnya.