SENGIT: Payet (kanan) bersaing dengan pemain pertahanan Nantes Imran Louza pada perlawanan Ligue 1 Perancis di antara Nantes FC dan Olympique de Marseilles (OM) di Stadium La Beaujoire di Nantes, Perancis, kelmarin. — Gambar AFP

PARIS, Perancis: Marseille terlepas peluang untuk kembali ke slot kelayakan ke bola sepak Eropah musim hadapan selepas memerlukan gol penyamaan Dimitri Payet untuk mengikat Nantes 1-1 dalam aksi Ligue 1 Perancis pada Sabtu.

Marseille tanpa dua kemenangan berturut-turut sejak awal bulan Disember selepas gagal mengekalkan rentak selepas menewaskan Nice pada pertengahan minggu.

“Saya suka perlawanan di sini, ada pengorbanan diri pemain, keberanian dan ia sesuatu yang positif,” tegas jurulatih sementara Marseille, Nasser Larguet, yang menggantikan Andre Villas-Boas awal bulan ini.

“Marseille berada di landasan yang tepat. Pemikiran pemain adalah sangat positif.”

Nantes, yang berada di kelompok bawahan liga, mengintai kemenangan kedua berturut-turut apabila Ludovic Blas membuka jaringan pada minit ke-50 selepas penjaga gol Marseille, Steve Mandanda gagal menangani tolakan ke belakang Alvaro.

Payet mengikat kedudukan 19 minit kemudian dan hampir menjaringkan gol kemenangan tetapi penjaga gol Nantes, Alban Lafont beraksi tangkas.

Marseille kekal dalam krisis, tanpa seorang jurulatih tetap dan hanya menang dua dari 13 perlawanan liga terakhir, namun mereka berkongsi mata dengan pasukan di tangga kelima, Rennes selepas memulakan musim dengan memberangsangkan.

Peluang mencabar kejuaraan liga mungkin sudah berakhir selepas pendahulu  liga, Lyon dan Lille berada 11 mata di hadapan Marseille. — AFP