RAI: Richarlison meraikan gol bersama rakan sepasukannya pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Liverpool dan Everton di Anfield, Liverpool, di England, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Everton meraih kemenangan pertama di Liverpool sejak 1999 ketika juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu tewas 0-2 pada pertemuan dua kelab berjiran sementara kebangkitan Chelsea di bawah kendalian Thomas Tuchel tersandung sedikit apabila seri 1-1 dengan Southampton pada Sabtu.

Gol awal Richarlison dan gol penalti lewat Gylfi Sigurdsson memberikan Everton kemenangan pertama mereka di Anfield dalam 24 cubaan sejak dari 2010.

Selepas satu tempoh 68 perlawanan  liga tanpa kalah di Anfield, Liverpool kini sudah tewas empat perlawanan terakhir mereka di Anfield, kali pertama ia berlaku sejak 1923.

“Saya sangat gembira dengan kelab dan penyokong mereka. Saya berharap apa yang pasti mereka  meraikannya malam ini,” kata  pengurus Everton, Carlo Ancelotti.

Liverpool hanya  menang dua dari 11 perlawanan  liga terakhir, menyebabkan mereka dalam bahaya terlepas peluang beraksi dalam Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak Jurgen Klopp menjadi pengurus lima tahun  yang lalu.

Liverpool ketika ini berada di tangga kelima liga dan mungkin akan ketinggalan lima mata di belakang empat pasukan teratas liga jika West Ham menewaskan Tottenham Hotspur pada perlawanan  lewat.

“Gol pertama, di mana kami harus bertahan lebih baik, memberikan arah tuju permainan. Ia tidak sepatutnya berlaku,”  kata Klopp. “Kami sentiasa mengejar permainan dan pemain tidak cukup tenang.”

Kesan dari kekalahan pada pertemuan ke-238 kedua-dua kelab akan memberi kesan yang lebih lama kerana pada perlawanan pertama di awal musim, penjaga gol Everton, Jordan Pickford mengasari pemain pertahanan Liverpool, Virgin van Dijk, menyebabkan pemain itu mengalami kecederaan lutut  yang serius dan terpaksa berehat sentiasa akhir musim ini.

Tanpa pemain pertahanan kental itu, Liverpool ‘rapuh’ di benteng pertahanan dan ia terbukti apabila Everton menembusi pintu gol Liverpool selepas 145 saat sepak mula perlawanan.

Tandukan lemah Ozan Kabak ketika mengeluar bola bahaya, hanya sampai ke kaki James Rodriguez, yang melorong bola melepasi Kabak kepada Richarlison untuk merembat ke pintu gol.

Liverpool kemudian mengalami satu lagi masalah kecederaan apabila kapten pasukannya, Jordan Henderson terpaksa meninggalkan padang kerana kecederaan pangkal paha.

Liverpool meningkatkan permainan dalam separuh masa kedua tetapi mereka tersentak sekali lagi apabila Dominic Calvert-Lewin dikasari Trent Alexander-Arnold dalam kotak penalti, membolehkan Sigurdsson menyempurnakan penalti tujuh minit sebelum tamat permainan untuk membolehkan Everton berkongsi mata dengan Liverpool tetapi kurang satu perlawanan.

Chelsea kekal di tangga keempat setakat ini ketika Tuchel masih belum tewas dari tujuh perlawanan sejak menggantikan Frank Lampard bulan lepas.

Tetapi beliau mengharungi beberapa kekecewaan yang sama seperti dialami Lampard pada awal musim apabila penguasaan permainan pasukannya tidak mampu diterjemahkan dengan kemenangan dan kealpaan di benteng pertahanan menyebabkan mereka tercicir dua mata berharga.

Pemain pinjaman Southampton dari Liverpool, Takumi Minamino, membuka jaringan buat Southampton pada minit ke-33.

Tuchel memasukkan Callum Hudson-Odoi pada masa rehat tetapi tetap gagal memberi impak, dengan penyerang antarabangsa England itu dikeluarkan selepas 21 minit untuk diganti dengan  Hakim Ziyech.

Ketika itu, Chelsea sudah mengikat kedudukan apabila Mason Mount menyempurnakan satu penalti selepas beliau dikasari Danny Ings dalam kotak penalti.

“Kami memasukkan Callum Hudson-Odoi tetapi saya tidak gembira dengan sikap, tenaga dan corak permainannya. Saya mengeluarkannya dan kami menuntut permainan sepenuhnya dari semua pemain,” kata Tuchel.

“Saya merasakan beliau tidak berada dalam motivasi yang betul untuk membantu kami dan saya tidak gembira dengan bahasa badannya.”

Selepas tewas enam perlawanan liga berturut-turut, kali pertama ia berlaku dalam sejarah mereka, satu mata sememangnya dialu-alukan oleh Southampton.

Di kelompok bawahan liga, Fulham merapatkan kedudukan dengan kurang tiga mata dari zon selamat apabila menewaskan Sheffield United 1-0.

Harapan West Brom mengelak penyingkiran musim ini semakin sukar apabila seri tanpa jaringan di Burnley, menyebabkan mereka kini 11 mata dari zon selamat. — AFP