KUCHING: Padah terlibat aktiviti perjudian dalam talian, seorang wanita warga Indonesia didenda RM10,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar di Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman itu selepas Riska, 22, mengaku bersalah sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, dibacakan jurubahasa mahkamah. 

Seksyen berkenaan memperuntukkan denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 untuk setiap mesin perjudian yang dirampas dan juga boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, jika sabit kesalahan.  

Wanita tersebut didakwa mengendalikan mesin perjudian pada 8 Februari lalu, jam 3.30 petang di sebuah kafe di Pending Heights, Jalan Pending, dekat sini.  

Mengikut keterangan kes, pihak polis yang membuat serbuan menemui sebuah telefor pintar dan didalamnya terdapat pautan dipercayai digunakan bagi tujuan perjudian atas talian. 

Sehubungan itu, pasukan serbuan merampas telefon pintar tersebut, selain merampas wang tunai RM2,500 diletakkan di kaunter kafe, disyaki hasil daripada aktiviti itu. 

Laporan pakar judi turut mengesahkan bahawa barang kes (telefon) berkenaan adalah mesin judi. 

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.