BEBAS: Drareni disambut para penyokong sebaik tiba di rumahnya di Algiers susulan pembebasannya dari penjara Kolea, Jumaat lalu. — Gambar AFP

ALGIERS: Pihak berkuasa Algeria membebaskan sekurang-kurangnya 35 aktivis prodemokrasi dari penjara sepanjang tempoh 24 jam lepas di bawah pengampunan presiden yang dikeluarkan sebelum ulang tahun kedua kebangkitan rakyat, menurut kumpulan hak asasi.

Pergerakan protes Hirak yang telah menjatuhkan pemimpin Abdelaziz Bouteflika pada 2019, menyambut ulang tahu keduanya hari ini, dengan seruan dalam media sosial bagi tunjuk perasaan sempena hari tersebut.

Kumpulan hak asasi National Committee for the Liberation of Prisoners (CNLD) kelmarin menyatakan sekurang-kurangnya 35 orang telah dibebaskan dari penjara sepanjang tempoh 24 jam lalu.

Kementerian kehakiman telah melaporkan Jumaat lepas pembebasan 33 tahanan bagi tindakan yang dikaitkan dengan penggunaan rangkaian media sosial, sambil menambah bahawa prosedur pembebasan telah dilakukan bagi yang lain.

CNLD menganggarkan kira-kira 70 orang telah dipenjarakan bagi hubungan mereka dengan Hirak atau aktiviti politik pembangkang secara aman yang lain.

Antara mereka yang diampuni Jumaat lepas ialah wartawan terkenal Khalid Drareni, koresponden TV5 Monde bahasa Perancis dan  badan pemerhati kebebasan media Reporters Without Borders (RSF).

Dia telah dipenjarakan bagi liputannya mengenai protes Hirak, dan seperti ramai tahanan lain, dituduh atas hasutan.

“Perjuangan saya (bagi kebebasan media) akan diteruskan,” Drareni memberitahu TV5 Monde selepas pembebasannya dari penjara Kolea di barat Algiers.

TV5 Monde menyambut baik pembebaasannya selepas 11 bulan dalam tahanan.

“Dia telah ditahan dan dijatuhkan hukuman kerana menjalankan tugasnya sebagai seorang wartawan,” ketua rangkaian tersebut Yves Bigot menyatakan kelmarin.

Setiausaha agung RSF Christophe Deloire menyatakan pembebasannya sebagai satu langkah ke arah yang betul selepas ketidakadilan selama 11 bulan.

Presiden Algeria Abdelmadjid Tebboune mengumumkan pada Khamis beberapa pengampunan dalam satu tindakan untuk menenangkan keadaan, ketika pergerakan Hirak yang menangguhkan ralinya pada Mac tahun lepas ekoran sekatan koronavirus kembali mengumpulkan momentum.

Tebboune menyatakan 55 hingga 60 anggota Hirak akan mendapat faedah daripada pengampunan tersebut.

Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah menyambut baik pembebasan dan menyuarakan sokongan bagi kebebasan bersuara di Algeria.

“Kami berharap akan melihat langkah-langkah positif seperti ini diteruskan,” menurut seorang jurucakap Jabatan Negara.

Ketua polisi asing EU, Josep Borrell, menyatakan dalam Twitter bahawa pengampunan itu satu keputusan yang mengiktiraf kepentingan kebebasan untuk bersuara dan kemajmukan dalam proses demokratik.

Khamis lepas, Tebboune turut mengumumkan pilihan raya awal, menyeru bagi pembubaran parlimen dan mengumumkan rombakan semula kerajaan dalam masa 48 jam.

Pilihan raya perundangan dijadual diadakan pada 2022, namun Tebboune mahu pengundian dilakukan sebelum hujung tahun ini. — AFP