MIRI: Mahkamah Sesyen menetapkan 10 Mac depan untuk pengurusan kes dua anggota polis berpangkat koperal yang dituduh mendedahkan seorang gadis bawah umur kepada perbuatan aniaya ketika direman di lokap Balai Polis Pusat Miri bulan lepas.
    
Manakala kedua-dua tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan lanjut RM10,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.
    
Brase Omang, 54, dari Desa Indah 2, Bandar Baru Permyjaya di sini dan Edmund Jali, 44, dari kuarters kediaman Ibu Pejabat Polis Daerah Miri didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
    
Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
    
Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua mereka dituduh mendedahkan seorang gadis bawah umur berusia 16 tahun kepada perbuatan aniaya dengan membiarkan sel seorang tahanan tidak berkunci dan membenarkan tahanan tersebut akses kepada kunci sel gadis terbabit.
    
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 10.51 malam pada 8 Januari dan jam 6.50 pagi, 9 Januari lalu di Balai Polis Pusat Miri di sini.
    
Selain itu, Brase dan Edmund turut menghadapi satu tuduhan alternatif iaitu sebagai penjawat awam, dengan sengaja melanggar arahan undang-undang ketika menjalankan tugas dengan membiarkan sel tahanan tidak berkunci yang mana melanggar perintah reman bertarikh 31 Disember 2020.
    
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama.
    
Bagi kesalahan itu, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 166 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
    
Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Negeri Sarawak Mohammad Al Saifi Hashim memberitahu mahkamah bahawa peguam bela Ranbir Singh yang mewakili Brase dan peguam bela Gurvir Singh yang mewakili Edmund turut mewakili seorang lagi tertuduh yang mempunyai kaitan dengan kes ini (dituduh merogol gadis bawah umur terbabit).
    
Sehubungan itu, beliau memohon kepada mahkamah untuk melihat perkara ini kerana kemungkinan akan timbul konflik kepentingan memandangkan Brase dan Edmund akan menjadi saksi pendakwaan di dalam kes tertuduh kes rogol dan begitu juga sebaliknya.
    
"Bagaimana pihak peguam bela hendak memeriksa balas anak guamnya sendiri nanti. Melainkan, mereka membuat pilihan untuk mewakili satu pihak (tertuduh) sahaja," katanya.
    
Sementara itu, Ranbir dan Gurvir dalam kenyataan balas memberitahu mahkamah bahawa mereka akan membuat keputusan berkaitan perkara tersebut setelah menerima serahan dokumen berkaitan kes pada 10 Mac nanti.
    
Pendakwaan dilakukan oleh Mohamad Al-Saifi bersama tiga Timbalan Pendakwa Raya terdiri daripada Muhammad Nor Sollihin Salleh, Rishan Kumar Ragandaran dan Danial Ilham.