SOLSKJAER

LONDON: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memberi amaran kepada Manchester City bahawa mereka belum memenangi apa-apa walaupun memiliki kelebihan 10 mata di singgahsana Liga Perdana Inggeris ketika ini.

Bersemangat dengan kemenangan 4-0 ke atas Real Sociedad dalam aksi Liga Europa pada Khamis lepas, Solskjaer berkata pasukannya sudah bersedia memberikan saingan serius dengan City sehingga ke akhir musim.

“Saya tidak fikir sesiapa pun akan  berkata mereka tidak akan mencuba,” kata Solskjaer pada satu sidang media. “Kami akan memburu kemenangan pada setiap perlawanan yang kami hadapi, itu apa yang pasti.

“Kami di tangga kedua dan sudah tentu cita-cita anda ialah untuk menjadi yang nombor satu. Kami perlu mendapatkan keputusan yang baik jika mahu terus memberikan tekanan kepada City dan ia seharusnya bermula dengan perlawanan Ahad ini (menentang Newcastle United).”

Hanya dua  kali di mana sebuah pasukan yang memiliki kelebihan 10 mata di singgahsana liga yang gagal memenangi kejuaraan sejak era Liga Perdana – Manchester United pada musim 1997/1998 dan Newcastle United pad 1995/1996.

United menanti kunjungan Newcastle hari ini selepas hanya menang sekali dari lima perlawanan liga terakhir.

Prestasi hambar itu membolehkan City menjarakkan kedudukan dengan lebih selesa di tangga teratas liga tetapi juga memberikan tekanan kepada United dalam slot empat tangga  teratas kerana West Ham United kurang empat mata di tangga kelima.

Liverpool di tangga keenam dan kurang dua lagi mata.

“Kami tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa prestasi kami menurun sedikit,” kata Solskjaer. “Kami tercicir mata menentang Everton, Sheffield United, West Brom; perlawanan di mana kami fikir boleh perolehi lebih banyak mata lagi.”

“Real Sociedad adalah tentang menemui semula rentak kami dan menentang Newcastle adalah sangat penting untuk kami.”

Selepas membelasah Southampton 9-0 pada awal bulan Februari, United hanya menang tipis 1-0 ke atas West Ham United dalam Piala FA dan kemudian seri dua perlawanan berturut-turut menentang Everton dan West Brom.

Kemenangan selesa ke atas Sociedad adalah sangat dialu-alukan dan Solskjaer menuntut aksi yang sama menentang Newcastle hari ini.

“Kami menuntut bahawa pada setiap perlawanan kami mempunyai peluang untuk menang,”  tambah Solskjaer.

“Kami harus berlari lebih banyak berbanding pasukan lawan, anda harus mempunyai cita-cita untuk menang lebih tinggi dari pasukan lawan.

“Setiap perlawanan dalam Liga Perdana mempunyai tuntutan yang tinggi untuk menang dan kerana itu kenapa pemain dibayar gaji yang tinggi untuk beraksi dengan baik pad setiap kali mereka bermain.” — AFP