KUCHING: Rakyat Sarawak kini boleh mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 percuma.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar) berkata mereka boleh membuat pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera di telefon bimbit masing-masing.

“Bagi mereka (tiada aplikasi) boleh menghubungi klinik dan pejabat daerah terdekat mereka. Kami kini membuka pendaftaran,” katanya selepas melawat pusat operasi bagi COVID-19 di Kampung Sungai Maong dan Taman Univista yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.

Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak berdaftar menerusi pihak yang menawarkan bantuan dan memberi borang pendaftaran vaksin.

“Jangan memberikan kad pengenalan anda kepada mereka kerana kita bimbang akan berlaku penyalagunaan,” katanya.

Uggah yang Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memberitahu bagi mereka yang berada di luar bandar jika mereka memerlukan penjelasan lebih lanjut, mereka boleh bertanya pemimpin setempat.

Beliau berkata semua rakyat diharap dapat mendaftarkan diri mereka untuk vaksinasi yang dijangka bermula pada hujung bulan ini di Sarawak menerusi tiga fasa.

“Program vaksinasi sangat penting dalam usaha kita melindungi diri kita serta menghentikan atau mengawal penyebaran jangkitan. Apabila kita dapat melindungi diri kita sendiri, kita juga dapat melindungi keluarga dan masyarakat kita.

“Kita boleh memulakan aktiviti ekonomi untuk menjana pendapatan. Kita boleh melakukan pergerakan di mana sahaja. Kita boleh meraikan atau bersosial. Pendek kata kita akhirnya dapat kembali kepada rutin biasa kita,” katanya. 

Beliau pada masa yang sama berharap rakyat tidak terpengaruh dengan apa yang mereka dengar atau lihat di media sosial mengenai bahaya vaksin dan menolaknya.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatannya ke dua bilik operasi berkenaan, Uggah menyifatkan operasi kawalan pergerakan dilakukan dengan baik.

“Kedua-dua, Residen Kuching dan Kota Samarahan, mereka sudah sangat berpengalaman dan masyarakat di kedua-dua tempat juga sangat bekerjasama. Satu yang menjadi kebimbangan kami ialah mengenai pengagihan makanan. Namun nampaknya ia juga dilakukan dengan baik.

“JPBNS mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua Residen, pegawai mereka, semua anggota penguatkuasaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat atas tugasan yang dilakukan dengan baik,” katanya.

Uggah turut diiringi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian semasa lawatan.

Kira-kira 375 individu terdiri daripada 65 rumah dan 60 unit pangsapuri di Taman Univista menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula pada 17 Februari hingga 2 Mac.

Di Kampung Sungai Maong PKPD juga dari 17 Februari hingga 2 Mac, ia melibatkan kira-kira 829 orang terdiri daripada 182 keluarga terjejas