DEPRESI bukanlah isu remeh yang boleh dipandang ringan masyarakat kita.

Realitinya ia berlaku dalam kalangan kita apatah lagi dalam situasi seluruh dunia yang masih berdepan dengan pandemik COVID-19 kini.

Meletakkan situasi bila mana seseorang itu ‘berperang’ dengsan perasaan sendiri untuk berterus-terang dengan insan tersayang tentang penyakit yang dideritainya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil dengan sebuah telemovie yang mengangkat isu depresi ini.

Dalam telemovie diberi tajuk ‘Rajuk’ yang disiarkan mengisi slot Citra di TV2, jam 9.30 malam ini, penonton dapat berkongsi rasa dan perasaan lelaki bergelar suami, ayah, dan rakan sekerja menerusi watak Jefry yang dilakonkan oleh Rosyam Nor.

Bergandingan dengan Marissa Yasmin sebagai isteri bernama Dian, telemovie arahan Rashid Sibir ini turut menampilkan pelakon Yuna Rahim dan Fimie Don sebagai anak pasangan ini.

Kongsikan kisah Jefry seorang suami yang bertanggungjawab terhadap keluarga yang menjadi contoh suami mithali. Dia sentiasa melayani isterinya, Dian juga dua orang anaknya Amira dan Amirul dengan penuh kasih sayang.

Namun satu hari berlaku kejadian yang tidak pernah diduga sama sekali. Kematian rakan sepejabatnya yang dikenali sebagai Amy merubah segalanya.

Amy yang dipercayai membunuh diri akibat kemurungan. Apatah lagi Amy berdepan dengan tekanan perasaan setelah ditinggalkan suami yang mati akibat kanser.

Ketika itu segala yang berlaku kepada Amy mula menghantui fikiran Jefry.

Macam-macam berlegar di fikirannya menyebabkan fikirannya terganggu.

Pada masa sama Jefry tidak mahu musibah yang sama menimpa isteri dan anak-anaknya apabila dia disahkan mengidap kanser.

Situasi sama yang pernah dilalui Amy dan suaminya sebelum ini.

Ketika itu tiada apa yang mampu dilakukan oleh Jefry. Apa yang terbayang di fikirannya dia rela mati sendirian jauh dari keluarganya kerana tidak sanggup melihat keluarganya menderita dan meratapi kematiannya.

Namun apakah jalan penyudahnya? Dapatkah mereka menerima ketentuan takdir bahawa ajal dan maut itu di tangan Allah yang Maha Pencipta?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan RTM mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.