Rencana dua bahagian ini adalah mengenai gajah pygmy Borneo yang sering menjadi buruan dan mangsa pembunuhan.

Bahagian akhir antaranya usaha kerajaan negeri Sabah untuk memelihara serta memulihara haiwan ini. 

Sebahagian pelancong menaiki bot untuk melihat dengan lebih dekat kumpulan gajah Borneo atau lebih dikenali sebagai gajah pygmy yang mencari makanan di tebing Sungai Kinabatangan berhampiran Kampung Bilit. - Gambar Bernama

Oleh Rohana Nasrah

MASIH berlarutan dan tiada kesudahan.

Itu ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan isu kematian dan pembunuhan gajah Borneo di Sabah, dengan kes terbaharu membabitkan pembunuhan kejam seekor gajah Borneo di sebuah ladang kelapa sawit di Tongod, Kinabatangan pada Januari 2021. 

Bangkai haiwan dilindungi itu ditemukan oleh pekerja ladang berkenaan dekat Kampung Imbak, dengan anggota badan gajah Borneo tersebut dipotong manakala kulitnya disiat dan dipercayai mati selama empat atau lima hari berdasarkan keadaan bangkai yang reput.

Ini bukan sebuah kejadian baharu.

Penulis masih ingat kejadian September 2019 yang mana Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menemukan lebih 70 das tembakan pada badan, kaki dan kepala haiwan tersebut di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, dekat Tawau, malah kes demi kes berlaku tidak bernoktah.

Tahun lalu juga tidak sunyi daripada isu gajah Borneo apabila sebanyak lima kematian mamalia darat terbesar itu direkodkan dalam tempoh dua bulan pertama 2020, dengan pelbagai punca termasuk cedera dan keracunan.

RESOLUSI KOMPREHENSIF

Pelbagai pendekatan proaktif dan resolusi komprehensif dilakukan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama jabatan berkaitan bagi menjamin keselamatan spesies gajah Borneo di bumi Sabah.

Ini termasuk meluluskan Pelan Tindakan Gajah Negeri Sabah 2020-2029 pada tahun 2020 sebagai antara langkah melindungi populasi gajah Borneo yang dianggarkan dalam julat 1,500 hingga 2,000 ekor.

Kerajaan negeri menerusi JHL Sabah turut bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) untuk membangunkan Santuari Gajah Borneo yang terletak di Lot 8 Santuari Hidupan Liar Kinabatangan  sebagai sebahagian daripada tindakan susulan menyokong pelaksanaan pelan tindakan itu.

Komitmen kerajaan Sabah dalam memelihara dan memulihara khazanah hidupan liarnya juga dapat disaksikan menerusi pindaan Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 pada tahun 2016 yang menetapkan hukuman lebih berat terhadap pesalah hidupan liar di negeri itu.

Ia adalah semakan pertama selepas enakmen berkenaan dikuatkuasakan sejak 20 tahun lalu dengan meningkatkan hukuman antara tiga hingga lima kali ganda berbanding sebelum ini.

Bukan itu sahaja, beberapa NGO di Sabah yang bergiat aktif dalam pemeliharaan dan pemuliharaan gajah Borneo juga dilihat memberi komitmen penuh untuk menjaga kelestarian populasi gajah di negeri ini.

Ini termasuk Seratu Aatai yang menjalankan kajian saintifik bagi memahami kaedah membina landskap mesra lawatan gajah terutama di luar kawasan dilindungi, selain memberi pendidikan serta mempromosikan kepentingan mengenali, mencintai, melindungi dan memulihara gajah dalam kalangan masyarakat.

Turut turun padang untuk bersama-sama memberi perhatian terhadap isu gajah Borneo di Sabah termasuk HUTAN, Forever Sabah, Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, dan terbaharu, Badan Amanah Konservasi Gajah Bertanggungjawab (Respect).

Bagaimanapun, semua ini masih belum cukup ampuh bagi meletak noktah dan menyelesaikan konflik manusia dan gajah Borneo, yang sepertinya menjadi isu wajib dibahas dan diperdebatkan setiap tahun.

MANGSA KEADAAN

Apa yang pasti, natijah konflik manusia dan gajah Borneo di Sabah bukanlah satu perkara baharu; Situasi itu sudah wujud sejak 1960an lagi apabila kawasan hutan di “Negeri Bawah Bayu” mula diterokai sedikit demi sedikit untuk tujuan pembangunan terutama melibatkan sektor perladangan sawit.

Habitat semula jadi gajah Borneo yang semakin hari semakin mengecil memaksa haiwan liar berkenaan keluar berkeliaran dalam kawasan hutan berhampiran ladang kelapa sawit untuk mencari makanan sehingga adakalanya menimbulkan konflik manusia dan gajah yang kini kian meruncing.

Dalam hal ini, gajah Borneo tidak boleh dipersalahkan, dan haiwan liar itu adalah mangsa keadaan.

“Hakikatnya, hutan adalah habitat asal gajah,” kata Pengurus Pemuliharaan Gajah WWF-Malaysia Dr Cheryl Cheah kepada Bernama.

“Namun, kesan daripada keluasan hutan yang semakin mengecil dan terpisah akibat penerokaan tanah dan penanaman seperti sawit, pisang dan ubi di sempadan hutan menyebabkan gajah mula keluar dari hutan dan masuk ke ladang atau penempatan manusia yang berhampiran untuk mencari sumber makanan,” jelasnya.

Cheah berkata secara purata, setiap seekor gajah Borneo perlu makan sehingga 150 kilogram tumbuhan dan minum 200 liter air dalam sehari serta memerlukan kawasan besar untuk bergerak bagi memenuhi keperluan biologinya.

Menurut beliau, gajah juga hidup dalam kumpulan dengan bilangan antara tiga hingga 30 ekor, dan menurutnya, semakin besar bilangan gajah dalam kumpulan, semakin besar keperluan mereka.

Pemasangan pagar elektrik di sepanjang perbatasan hutan untuk menghalang pergerakan gajah keluar dari habitat semula jadi mereka adalah mahal dan tidak mampan untuk jangka masa panjang, katanya.

KEWUJUDAN BERSAMA

Justeru, Cheah berkata, kewujudan bersama antara manusia dan gajah Borneo adalah satu-satunya langkah yang dilihat mampu menangani permasalahan ini sekali gus ke arah mewujudkan suasana kehidupan harmoni dengan hidupan liar berkenaan.

Semua pihak khususnya pemilik ladang juga harus menggalas tanggungjawab bersama untuk bersedia berkongsi ruang dengan gajah Borneo, dan peranan menerapkan aspek kewujudan bersama itu tidak seharusnya diletakkan di bahu JHL Sabah semata-mata.

Beliau berkata, pihak ladang atau pemilik ladang itu sendiri perlu mengambil alternatif termasuk mendirikan unit perlindungan hasil tanaman atau pasukan pemantau yang membuat kawalan di kawasan ladang bagi mengelak gajah daripada merosakkan hasil tanaman.

“Pemilik ladang juga sewajarnya segera memaklumkan kepada JHL jika mengesan ada gajah menceroboh kawasan mereka. Pihak ladang dan orang perseorangan tidak seharusnya mengambil tindakan sendiri,” katanya.

Menurut Cheah, WWF-Malaysia turut mengambil inisiatif memasang kolar satelit pada 20 ekor gajah Borneo bagi mengesan kedudukan dan meneiliti pergerakan haiwan liar itu.

Maklumat itu kemudian digunakan untuk menyediakan cadangan kepada kerajaan serta pemilik ladang mengenai perancangan guna tanah sewajarnya termasuk pemasangan pagar elektrik secara strategik dan penubuhan koridor hidupan liar yang dijangka dapat mengelakkan konflik antara manusia dan gajah Borneo.

Ditanya sejauh mana serius kes gajah Borneo merosakkan tanaman ladang sawit di Sabah, Cheah berkata, ia bergantung kepada keadaan sama ada ladang itu besar atau melibatkan kebun orang kampung dan apakah pihak terbabit mengambil langkah untuk melindungi tanaman seperti pemasangan pagar elektrik.

Pada kebiasaannya, pekebun kecil tidak mampu untuk memasang pagar elektrik dan kemunculan gajah Borneo di kawasan kebun boleh mengakibatkan tanaman mereka terjejas teruk sedangkan kebanyakan mereka bergantung sepenuhnya pada hasil tanaman untuk menampung kos hidupan seharian.

“Konflik manusia dan gajah sememangnya memberi impak yang besar,” katanya.

BERGANDING BAHU ATASI KONFLIK

Sehubungan itu, Cheah berkata, semua pihak perlu berganding bahu dan bersedia mencuba pelbagai alternatif jangka panjang bagi mencapai situasi menang-menang ke arah mengurangkan konflik manusia-gajah di Sabah, selain meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang kepentingan hidup harmoni bersama gajah.

“Kita perlu meningkatkan usaha mempromosi kewujudan bersama antara manusia dan hidupan liar itu dengan memahami punca konflik serta mengkaji kaedah berkesan bagi mengurangkan konflik,” katanya.

Mengambil contoh usaha dilakukan Sabah Softwoods Berhad, Cheah berkata, syarikat perladangan itu mengambil inisiatif membina koridor hidupan liar di atas tapak seluas kira-kira 1,067 hektar.

Koridor terletak di antara hutan simpan Ulu Segama dengan Ulu Kalumpang di Tawau itu boleh dilihat sebagai antara langkah proaktif bagi mengurangkan konflik manusia dan gajah.

“Bagi membantu komuniti yang mengalami konflik, JHL juga melatih mereka tentang cara mengiring gajah Borneo kembali ke hutan dengan selamat selain menubuhkan pasukan pemantauan gajah di ladang terlibat,” katanya.

SIASATAN TERPERINCI

Mengulas apakah punca kes kematian gajah Borneo di Sabah, Cheah berkata, siasatan terperinci perlu dilakukan untuk mengenal pasti punca sebenar kes kematian terbabit memandangkan terdapat banyak sebab menyumbang kepada berlakunya kejadian itu.

Selain kes kematian akibat aktiviti pemburuan haram, Cheah berkata, Pelan Tindakan Gajah Negeri Sabah 2020-2029 menggariskan antara punca gajah Borneo mati adalah disebabkan oleh konflik manusia-gajah berikutan kerosakan tanaman dan harta benda, keracunan dan kemalangan.

“Jika gajah ditemui mati akibat ditembak, ia berkemungkinan berpunca daripada konflik gajah-manusia kerana kerosakan tanaman, harta-benda atau akibat aktiviti pemburuan haram. Bagi kematian disyaki disebabkan keracunan, ia mungkin boleh disebabkan oleh manusia secara sengaja atau tidak sengaja.

“Untuk kes keracunan tidak disengajakan, perkara ini disiasat oleh JHL kerana ia mungkin disebabkan oleh penggunaan bahan kimia di ladang yang boleh mengakibatkan keracunan kronik.

“Justeru, setiap kes kematian gajah adalah berlainan dan memerlukan siasatan terperinci daripada pihak berkuasa sebelum dapat membuat kesimpulan,” katanya.

Pun begitu, membunuh gajah Borneo termasuk mencederakan haiwan liar itu yang terpaksa masuk ke dalam kawasan kebun atau ladang sehingga merosakkan tanaman bukanlah satu tindakan wajar.

Bagi Cheah, pembunuhan gajah Borneo tidak dapat menyelesaikan masalah selain boleh diandaikan hanya sebagai merawat gejala dan bukan punca masalah.

Malah, mana-mana individu didapati bersalah mengikut Seksyen 25 (1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar bakal berdepan hukuman denda sehingga RM250,000 dan penjara tidak kurang daripada lima tahun.

Gajah Borneo adalah spesies dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual 1 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah.

MATA DAN TELINGA

Cheah berkata WWF-Malaysia menyokong penuh usaha JHL Sabah bersama agensi penguatkuasaan lain untuk menyiasat dan membawa pelaku yang membunuh gajah Borneo ke muka pengadilan.

Menurut beliau, pasukan petugas khas melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan termasuk JHL Sabah, Jabatan Hutan Sabah, Yayasan Sabah, Polis Diraja Malaysia termasuk WWF-Malaysia juga diwujudkan dan sedang membuat pemantauan bagi mengawal aktiviti pemburuan secara haram di negeri ini.

Bagaimanapun, peranan orang ramai masih tetap diperlukan untuk menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan atau menyampaikan maklumat berhubung kegiatan pemburu haram.

Cheah optimis kerjasama antara pihak berkuasa, industri dan orang ramai mampu membawa impak positif dalam menyelamatkan hidupan liar di Sabah.

“Gajah Borneo kini berdepan ancaman kepupusan dengan populasi spesies itu ketika ini dianggarkan hanya kurang 2,000 ekor di sekitar hutan Sabah. Pada akhirnya, toleransi dan kesediaan untuk hidup bersama adalah penting dalam memastikan gajah Borneo ini terus hidup pada masa depan,” katanya. - Bernama

BAHAGIAN PERTAMA: Sayangilah gajah pygmy Borneo