Tasik Biru Food Village kini menjadi salah satu lokasi tumpuan penunjung di Bau untuk menjamu selera.

PEMBUKAAN medan selera Tasik Biru Food Village (TBFV) di daerah Bau kira-kira 35 kilometer dari bandar raya Kuching memberi nafas baharu kepada peniaga kecil bumiptera di daerah tersebut. 

Lebih-lebih lagi dalam situasi ketika ini di mana negara sedang berdepan dengan pandemik COVID-19, ia pastinya satu tempoh yang sukar bagi peniaga kecil terutama di luar bandar untuk bertahan.

Bagaimanapun pembukaan TBFV ini yang dibangunkan Majlis Daerah Bau (MDB) pada Disember 2020, ternyata tidak mengecewakan peniaganya meskipun berdepan pandemik COVID-19. 

Angela (kanan) dibantu anaknya Stephanie menyediakan rojak buah dan rojak sotong yang ditempah pelanggannya di TBFV Bau.

Peniaga rojak Angela Goeng, 37, antara yang berniaga di medan selera ini sejak pembukaannya pada hujung Disember 2020. 

Katanya sebelum berniaga di medan selera ini, dia menjalankan perniagaan secara tunai semasa penghantaran (COD) kepada pelanggannya di sekitar Bau sehingga ke Kuching. 

“Dalam tempoh hampir dua bulan ini, perniagaan di medan selera ini agak memberangsangkan berbanding COD sebelum ini. 

“Pelanggan tetap saya juga sudah tahu lokasi tempat saya berniaga dan mudah untuk mereka datang ke sini untuk menikmati rojak buah dan rojak sotong yang saya jual menggunakan kuah rojak yang saya buat sendiri,” katanya ketika ditemui di medan selera tersebut. 

Dari segi jualan, Angela berkata dia mampu meraih pendapatan kasar RM1,200 sehari daripada jualan rojak buah, rojak sotong dan kuah rojaknya sejak berniaga sepenuh masa di medan ini. 

“Syukur, kini saya mampu mencapai jualan RM1,200 sehari ditolak dengan modal dalam RM600 lebih sehari, cukup untuk menampung keluarga saya,” katanya yang berasal dari Kampung Bogag, Bau.  

Khairul puas hati berniaga di TBFV Bau, salah satu lokasi tumpuan pengunjung di Bau.

Sementara itu, Mohd Khairul Mohd Ramzi, 29, berkata jualan makanannya terutama itik panggang agak memberangsangkan sejak memulakan perniagaan di medan selera ini hujung Disember 2020. 

Sebelum berniaga sepenuh masa di medan selera ini, Khairul berkata dia bekerja dalam bidang penyediaan makanan di restoran. 

Berbekalkan pengalaman yang ada, Khairul berkata dia mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan sendiri di medan selera ini dibantu ibunya.

“Jika dibandingkan ketika saya bekerja dengan orang lain, berniaga sendiri lebih menguntungkan dan seronok. 

“Dalam sehari boleh dapat RM210 untuk tiga ekor itik panggang tidak termasuk menu lain dan tempahan dari luar,” katanya yang berasal dari Kampung Podam Bau dan kini menetap di Kampung Suba Buan, Bau selepas berkahwin. 

Dari segi fasiliti di medan selera ini, Khairul berkata ia lengkap dan mencukupi serta terletak di lokasi strategik tumpuan pengunjung yang memberi kelebihan kepada peniaga di sini. 

Froji memastikan pengurusan di TBFV sentiasa dalam keadaan yang selesa untuk peniaga dan pengunjung.

Dalam pada itu Pengurus TBFV, Froji Katum berkata meskipun berdepan pandemik COVID-19, namun aktiviti perniagaan di medan selera ini agak memberangsangkan setakat ini. 

“Semua peniaga di medan selera ini telah menjalani kursus pengendalian makanan dan kita memastikan semua peniaga dan pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya. 

Kata Froji lagi, bangunan medan selera ini dibangunkan oleh MDB lengkap dengan semua fasiliti untuk keselesaan peniaga dan pengunjung. 

Terletak di lokasi strategik dalam kawasan tarikan pelancong iaitu Tasik Biru, TBFV katanya tidak pernah lengang daripada kehadiran pengunjung. 

“Berikutan COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) waktu operasi perniagaan dihadkan dari jam 6 pagi hingga 10 malam sahaja.

“Terdapat 15 gerai disediakan di TBFV ini dengan sembilan daripadanya diusahakan peniaga bumiputera,” katanya. 

Akan datang (jika COVID-19 pulih), TBFV merancang untuk mengadakan aktiviti ‘busking’ dua minggu sekali, Big Bike Week, 4WD Week dan pelbagai aktiviti lain untuk menarik pengunjung ke medan ini sekali gus merancakkan perniagaan di situ.