Poster ‘Mamu Mami Gosip’.

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah mewujudkan slot terbaharu iaitu ‘Sitkom’ di saluran rasmi media digitalnya, YouTube FINAS Malaysia, dalam usaha mempromosi karya kreatif tempatan dalam genre komedi.

FINAS dalam kenyataan kelmarin memaklumkan tayangan eksklusif sitkom bertajuk ‘Mamu Mami Gosip’  akan bersiaran setiap Rabu hingga Jumaat pada 9.30 malam.

“Dalam aspirasi meningkatkan penyampaian dan perkhidmatan melalui strategi pembangunan kandungan kreatif kerajaan dan pemameran di platform media digital, FINAS melalui Bahagian Kreatif dan Teknikal secara eksklusif telah mewujudkan ‘Sitkom’ bagi tayangan dan promosi karya kreatif tempatan dalam genre komedi yang mengetengahkan kepelbagaian dan keunikan budaya serta cerita rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Sitkom berdurasi setengah jam arahan Aizam Syamsul itu mengisahkan ragam penghuni di sebuah flat dengan pelbagai gelagat serta insiden mencuit hati yang dibintangi Kazar Saisi, Tauke Jambu, Delimawati, Fasha Sandha, Elisya Sandha, Fikhree Bakar, Aidil Aziz, Amyza Aznan dan Afifah Nasir.

FINAS mempelawa semua khalayak penonton untuk menonton sitkom komedi itu di saluran media digital YouTube FINAS di https://www.youtube.com/c/FinasMalaysiaMY. — Bernama