PERIKSA: Kalamuddin menunjukkan pakaian yang disimpan di dalam peti ais lama di asrama pekerja sebuah kilang siling ketika Operasi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak di sekitar Chemor, Ipoh semalam. — Gambar Bernama

IPOH: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak telah membuka sebanyak 10 kertas siasatan ke atas sebuah syarikat sarung tangan di kawasan perumahan Tasek di sini yang didapati melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Pengarah JTK Perak Muhamad Fauzi Abd Ghani berkata siasatan itu dijalankan selepas pihaknya mengesan kesalahan di salah sebuah daripada asrama tempat penginapan pekerja yang dimiliki syarikat berkenaan dalam operasi dilaksanakan bersama Jabatan Kesihatan negeri pada November tahun lepas.

“Kita akan meneruskan tindakan dan kini dalam proses akhir untuk pendakwaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Ops Khas ke Atas Asrama dan Penginapan Pekerja di bawah Akta 446 melibatkan 15 anggota JTK Perak yang dijalankan di sekitar Chemor di sini semalam.

Kesalahan yang dikesan ketika operasi di syarikat sarung tangan berkenaan antaranya tempat penginapan disediakan melebihi kapasiti serta jumlah bilik air tidak sepadan dengan jumlah pekerja yang menginap.

Operasi itu turut mendapati aspek kebersihan di tempat penginapan terbabit terabai dengan keadaan dalam rumah berselerak selain tempat penginapan terbabit tidak mempunyai surat perakuan penginapan dikeluarkan JTK.

Sekiranya sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 untuk seorang pekerja.

Mengenai operasi yang dijalankan bermula jam 10 pagi semalam di beberapa asrama pekerja sebuah kilang plaster siling, Muhamad Fauzi berkata pihaknya mengesan kilang berkenaan turut gagal mematuhi peruntukan ditetapkan mengikut Akta 446 malah tidak mendapatkan perakuan penginapan pekerja daripada JTK.

“Pemeriksaan mendapati keadaan asrama terlalu daif, kotor dan tidak sepatutnya majikan memberi kemudahan yang sebegitu kepada pekerja.

“Kalau mengikut peruntukan undang-undang, majikan perlu menyediakan tandas, tempat masak dan tempat tinggal yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan turut mendapati ruang antara dua katil jenis dua tingkat kurang dari 0.7 meter yang dibimbangi boleh menyebabkan berlakunya penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pekerja.

Susulan itu, sebanyak empat kertas siasatan dibuka ke atas majikan syarikat plaster siling berkenaan di bawah Akta 446 bagi tindakan lanjut.

Katanya JTK memulakan tindakan penguatkuasaan pada tahun ini selepas pihaknya memberikan pendidikan kepada para majikan supaya memohon sijil penginapan daripada JTK dan majikan yang gagal menyediakan perkara ditetapkan di bawah undang-undang di asrama penginapan pekerja akan dikenakan tindakan. — Bernama