BERSALAH: Mohd Shahridhuan (kanan), mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,900 daripada pemilik sebuah pusat urutan dan spa antara 2016 dan 2017. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Seorang bekas anggota polis mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,900 daripada pemilik sebuah pusat urutan dan spa antara 2016 dan 2017.

Mohd Shahridhuan Zohir, 30, yang hadir berkemeja-T kelabu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali.

Mengikut satu pertuduhan pilihan, tertuduh yang ketika itu berpangkat Lans Koperal didakwa menerima wang tunai RM600 daripada pemilik pusat urutan dan spa berumur 42 tahun itu yang diketahui ada hubungan dengan tugas rasminya.

Bagi lima pertuduhan lagi, Mohd Shahridhuan didakwa menerima wang tunai berjumlah RM3,300 bersama-sama tiga anggota polis lain berpangkat konstabel percubaan, Lans Koperal dan Koperal daripada individu sama.

Dia yang ketika itu bertugas di Balai Polis Komuniti Bandar Teknologi, Kajang dituduh bersama dua rakannya dari balai yang sama dan seorang lagi dari Balai Polis Damansara melakukan perbuatan berkenaan di sebuah pusat spa, Taman Anggerik, Semenyih dan di sebuah restoran di Jalan Reko, Kajang antara 27 Jun 2016 dan 4 Februari 2017.

Mohd Shahridhuan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tuan Attfina Tuan Kamaluddin menawarkan jaminan berjumlah RM35,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan memandangkan dia kini tidak bekerja sejak diberhentikan pada Mac 2019.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,500 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Februari depan untuk dijatuhkan hukuman.

Sementara itu, seorang penjaga stor di sebuah kilang roti mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini, semalam atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dengan mengatakan ingin menikam isterinya dengan pisau, pada Isnin lepas.

A. Nagarajan, 45, yang hadir ke mahkamah memakai kemeja-T dan berseluar pendek membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah ke atas P. Mehanadevi, 39, dengan mengatakan “saya tikam you nanti dengan pisau” di sebuah rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang di sini, pada 10 malam, 11 Januari lepas. — Bernama