SUKSES: Abdul Aziz (tengah di depan) dan Joannes (depan dua dari kiri) serta pegawai krusus lain dan peserta merakamkan gambar kenangan selepas tamat Kursus Kejurulatihan Spesifik Sukan Bina Badan dan Fizikal Tahap 1, di sini baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Seramai 34 peserta tamat Kursus Kejurulatihan Spesifik Sukan Bina Badan dan Fizikal Tahap 1,  di sini baru-baru ini.

Kursus anjuran Persatuan Bina Badan Sabah (SBBA) dan Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) dengan sokongan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah itu berlangsung di Pusat Gen Y Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS), Wisma UTC pada 6-9 Januari lalu.

Kursus dikendalikan Abdul Aziz Ahmad dari MBBF dan dibantu Joseph Sylvester serta Jeffery Thadeus dari SBBA.

Presiden SBBA, Joannes Staneslous berkata, kursus itu berjalan dengan sukses walaupun ada beberapa kekangan bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

"Kita masih dalam krisis COVID-19. Oleh itu, ada SOP dan  kami perlu mematuhinya dengan ketat.

"Saya gembira kerana semuanya berjalan lancar. Terima kasih kepada semua yang memberikan kerjasama dan membantu menjayakan acara ini," kata Joannes ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, kursus itu adalah bersempena dengan penganjuran Kejohanan Bina Badan dan Fizikal Mr Borneo 2020 (Novis) yang juga berlangsung dengan sukses di 1Borneo Hypermall, Jalan Sulaman dekat sini pada 10 Januari.

Joannes berkata, kursus itu dianjurkan dengan harapan dapat meramaikan lagi jurulatih berkualiti di negeri ini.

"Memiliki jurulatih berkualiti yang ramai amat penting dalam usaha kita memajukan sukan bina badan dan fizikal di negeri ini.

"Oleh itu, kursus ini bertujuan melahirkan lebih ramai jurulatih berkualiti seterusnya diharapkan dapat menampilkan lebih ramai atlet sukan bina badan dan fizikal berkualiti," kata Joannes.