KUALA LUMPUR: Khabar angin yang mengatakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menjalani rawatan berikutan penyakit kanser yang dialaminya selain pelantikan seorang timbalan perdana menteri adalah tidak benar dan berniat jahat.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata Muhyiddin telah disahkan bebas daripada penyakit kanser oleh pakar-pakar perubatan yang merawatnya.

Selain itu, kenyataan itu turut memaklumkan khabar angin yang menyatakan bahawa akan ada pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri juga adalah tidak benar.

Sebelum ini, terdapat portal berita melaporkan ada anggota kabinet dijangka akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi memberi ruang kepada Muhyiddin untuk menjalani rawatan di Singapura. - Bernama