Statistik terkini COVID-19 di Sarawak

KUCHING: Sarawak merekodkan 24 kes baharu COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes setakat ini sebanyak 1,275.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan akhbar, berkata daripada 24 kes baharu itu, tujuh dikesan di Kuching, manakala Miri dan Sibu masing-masing lima, Sri Aman (dua), sementara Bintulu, Samarahan, Sebauh, Selangau dan Serian masing-masing satu kes. 

"Hari ini, daerah Sibu dan daerah Kuching telah bertukar dari status jingga ke status merah dengan sejumlah 44 kes jangkitan tempatan dilaporkan di daerah Sibu dan 41 kes di daerah Kuching dalam tempoh 14 hari yang lepas.

"Daerah Selangau dan daerah Sebauh pula bertukar status hijau ke status kuning setelah masing-masing satu kes positif COVID-19 jangkitan tempatan dikesan dalam tempoh 14 hari yang lepas," katanya.

JPBNS berkata daerah Samarahan, Miri, Sibu, Bintulu, Meradong, Bukit Mabong dan Sri Aman kekal berstatus kuning dengan jumlah keseluruhan 20 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Manakala 30 buah daerah lain di Sarawak kekal berstatus hijau, tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai 24 kes baharu COVID-19 dikesan hari ini, JPBNS berkata dua daripada tujuh kes dikesan di daerah Kuching membabitkan dua warga tempatan (Sarawak), iaitu kes 1,253 dan 1,254 telah balik ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 8 Januari 2021. Kes 1,253 berasal dari Asajaya dan kes 1,254 berasal dari Betong, Sarawak.

Menurutnya, semasa tiba di LTAK pada 8 Januari 2021, kedua-dua kes dibawa ke pusat kuarantin di Kuching untuk menjalani arahan kuarantin wajib 10 hari.

Saringan pada 8 Januari 2021 didapati positif. Mereka yang tidak mengalami sebarang tanda atau gejala, dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

"Kes-kes ini dikategorikan sebagai Kes Import B yang telah mendapat jangkitan semasa masih berada di kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19," jelasnya.

Sementara itu, empat lagi kes adalah jangkitan tempatan membabitkan kes 1,256, 1,259, 1,260 dan 1,261 merupakan individu warga tempatan (Sarawak) yang menjalani saringan kerana mempunyai kontak kepada kes-kes positif COVID-19 dilaporkan sebelum ini.

Kes 1,256 adalah kontak kepada kes 1,204 dan kes ini telah menjalani saringan di sebuah hospital swasta di Kuching pada 9 Januari 2021. Kes ini juga mengadu telah mengalami demam dan batuk sejak 6 Januari 2021 yang lepas.

Kes 1,259 pula ahli keluarga dan kontak rapat kepada kes 1,206. Kes telah menjalani ujian saringan di HUS pada 9 Januari 2021 dan didapati positif pada hari yang sama.

"Kes 1,260 adalah ahli keluarga dan kontak rapat kepada kes 1,183 yang dikesan dan menjalani saringan pada 8 Januari 2021 dan didapati positif pada 9 Januari 2021.
 
"Manakala kes 1,261 adalah seorang guru tadika yang telah mempunyai kontak rapat kepada kes 1,191. Kes telah dikesan dan telah menjalani saringan COVID-19 pada 8 Januari 2021 dan didapati positif pada 9 Januari 2021.

"Kesemua kes dimasukkan ke wad pengasingan di HUS untuk rawatan lanjut," jelas JPBNS.

Kes-kes ini tambahnya, dikategorikan sebagai jangkitan tempatan yang mendapat jangkitan tempatan dan mempunyai kontak rapat dengan kes-kes positif dilaporkan sebelum ini. Kes 1,256 dan 1,260 mempunyai perkaitan dengan Kluster Stutong dan kes 1,261 mempunyai perkaitan dengan Kluster Keranji Tabuan.

Kes 1,255 yang dikesan di daerah Kuching hari ini merupakan seorang lelaki rakyat Sarawak yang menjalani saringan kendiri kerana bimbang mempunyai kontak kepada mana-mana kes positif yang dilaporkan sebelum ini.

Kes ini juga berasa tidak sihat dan sering berasa panas dan berpeluh sejak dua hari yang lepas. Kes menjalani saringan di sebuah fasiliti kesihatan swasta di Kuching pada 9 Januari 2021 dan didapati positif pada hari yang sama.

"Kes dimasukkan ke HUS untuk rawatan lanjut. Kes ini dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan sehingga siasatan ke atas punca jangkitan diketahui. 

"Pengesanan kontak-kontak kepada kes ini sedang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching," katanya.

Sementara itu, bagi lima kes yang dikesan di Sibu, JPBNS berkata kes 1,264, 1,265 dan 1,268 merupakan lelaki rakyat negeri ini yang menjalani saringan kerana mempunyai kontak dengan kes positif dilaporkan di dalam Kluster Pasai, Sibu.

 Kes-kes ini ini berumur dalam lingkungan 10 hingga 53 tahun.

"Kes-kes ini telah menjalani saringan pada 7 dan 8 Januari 2021 di Sibu dan didapati positif pada 9 Januari 2021. 

"Kes-kes ini tidak menunjukkan tanda atau dan dimasukkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

"Kes ini dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan yang telah mendapat jangkitan daripada kes positif COVID-19 yang dilaporkan sebelum ini," jelasnya.

Bagi kes 1,267, seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) yang telah menjalani saringan di klinik kesihatan kerajaan di Sibu kerana mengalami gejala COVID-19 pada 8 Januari 2021 dan didapati positif pada 9 Januari 2021.

Manakala kes 1,269 lelaki rakyat Sarawak yang telah menjalani saringan COVID-19 di hospital swasta di Sibu sebelum masuk bekerja dan menjalani saringan pada 8 Januari 2021 kemudian didapati positif pada 9 Januari 2021.

Kedua-dua kes katanya dimasukkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut dan kes-kes ini dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan sehingga siasatan ke atas punca jangkitan diketahui.

Pengesanan kontak-kontak kepada kes ini sedang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu, tambahnya.

Mengenai kes baharu dikesan di Miri hari ini, JPBNS berkata tiga adalah kes import B membabitkan kes 1,270, 1,271 dan 1,275 iaitu tiga beranak yang juga rakyat Sarawak yang baru balik dari Selangor menggunakan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) ke Lapangan Terbang Miri pada 5 Januari 2021.

Kes-kes ini jelasnya disaring pada 7 Januari 2021 dan didapati positif pada 9 Januari 2021. 

Ketiga-tiga kes ini tidak mengalami sebarang tanda atau gejala dan dimasukkan Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

"Dua lagi kes dikesan di Miri hari ini, kes 1,272 dan 1,273 kedua-duanya wanita rakyat negeri ini yang dikesan dan menjalani saringan kerana mempunyai kontak rapat kepada kes 1,176 iaitu kes dalam Kluster Bah Sayap.

Kes-kes ini tidak mengalami sebarang tanda atau gejala dan dimasukkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut. Kes-kes ini dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan iaitu telah mendapat jangkitan dari kes positif yang dilaporkan sebelum ini, jelasnya.

"Kes 1,262 dan 1,263 adalah suami isteri warga tempatan (Sarawak) yang dikesan dan disaring kerana telah mempunyai kontak kepada kes 1,175 di Rh Langi, Pasai Siong Sibu pada 30 Disember 2020.

"Mereka telah disaring pada 8 Januari 2021 dan didapati positif pada 9 Januari 2021. Kedua-dua kes ini tidak mengalami sebarang tanda atau gejala dan dimasukkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut. 

"Kes ini dikategorikan sebagai kes Import C iaitu telah mendapat jangkitan semasa berada di daerah Sibu dan mempunyai kontak dengan kes positif COVID-19."

Bagi satu kes baharu dikesan di Sebauh, JPBNS berkata kes 1,257 merupakan seorang wanita warga tempatan (Sarawak) yang datang ke sebuah klinik kesihatan kerajaan di Bintulu kerana mengalami demam sejak 6 Januari 2021.

Katanya kes telah dibuat saringan dan didapati positif pada 9 Januari 2021.

Kes juga diberitahu tidak mempunyai sejarah pergerakan ke kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 atau melakukan perjalanan ke luar negara. 

Kes dimasukkan ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut. Kes dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan dan siasatan terhadap kes ini masih giat dijalankan.

Sementara itu, satu kes dikesan di daerah Bintulu hari ini iaitu kes 1,258 yang merupakan seorang suri rumah rakyat Sarawak yang hadir membuat pemeriksaan kesihatan dan saringan COVID-19 di sebuah klinik kesihatan kerajaan pada 8 Januari 2021 kerana mengalami demam dan batuk sejak 4 Januari 2021 yang lalu. 

Keputusan ujian saringan didapati positif pada 9 Januari 2021, tambahnya.

Menurut JPBNS, siasatan awal menunjukkan kes ini pernah mengunjungi sebuah rumah panjang di Pasai Siong, Sibu pada 24 Disember 2020 sehingga 1 Januari 2021 bagi sambutan Hari Krismas dan sambutan tahun baru. 

Bagaimanapun ujarnya kes ini tidak menghadiri upacara pengebumian yang diadakan di Rumah Langi, Pasai Siong Sibu atau mengunjungi rumah panjang lain yang dikaitkan dengan Kluster Pasai. Selain daripada itu, kes hanya berada di rumah panjang di Bukit Sekubong, Sebauh.

"Kes dimasukkan ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut dan dikategorikan sebagai kes import C yang berkemungkinan telah mendapat jangkitan semasa berada di Pasai Siong, Sibu pada 24 Disember 2020 sehingga 1 Januari 2021.

"Kes ini masih dalam siasatan dan pengesanan kontak-kontak kepada kes ini sedang giat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu dan Sibu."

JPBNS berkata bagi satu kes baharu dikesan di Samarahan membabitkan kes 1,252 rakyat Sabah yang masuk ke Sarawak untuk melapor diri atas arahan bertukar tempat kerja.

Kes dilaporkan telah masuk ke Sarawak melalui LTAK pada 1 Januari 2021 dan diberi arahan untuk menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin selama 10 hari.

Kes juga telah menjalani saringan semasa tiba di LTAK tetapi ujian saringan kes didapati negatif COVID-19 bagaimanapun, saringan kedua pada hari ke-8 pada 8 Januari 2021 didapati positif.

Kes ini ujarnya tidak mengalami sebarang tanda atau gejala dan dimasukkan ke HUS untuk rawatan lanjut.

"Kes 1,266 merupakan warga tempatan (Sarawak) yang telah membuat saringan di sebuah klinik kesihatan kerajaan di Sibu bagi tujuan melakukan perjalanan balik ke Lawas melalui negara Brunei bagi memulakan tugas.

"Kes telah menjalani saringan pada 8 Januari 2021 dan didapati positif pada 9 Januari 2021. Kes ini tidak mengalami sebarang tanda atau gejala dan dimasukkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

"Sehingga siasatan terperinci selesai dilakukan, kes ini dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan. Pengesanan kontak keada kes ini masih dijalankan," jelasnya.

JPBNS memberitahu bagi satu kes baharu dikesan di daerah Serian hari ini, membabitkan seorang wanita warga tempatan (Sarawak) yang menjalani saringan COVID-19 di sebuah hospital swasta di bandar raya Kuching pada 9 Januari 2021 kerana mempunyai kontak rapat kepada kes 1,211 dan 1,212 yang dilaporkan sebelum ini. 

Ujian saringan ujian rT-PCR didapati positif pada 9 Januari 2021. Kes tidak mengalami sebarang tanda atau gejala dan dimasukkan ke HUS untuk rawatan lanjut. 

"Kes ini dikategorikan sebagai kes Import C iaitu mempunyai kontak rapat dengan positif kes semasa berada di bandar raya Kuching dan mempunyai perkaitan dengan kes-kes di dalam Kluster Stutong," katanya.