PELIHARA INTEGRITI: Jemaah yang hadir memberi tumpuan penuh amanat yang disampaikan oleh Talib.

BINTULU:Sarawak amat bertuah kerana mempunyai pemimpin-pemimpin berintegriti sekali gus membawa kepada pelaksanaan projek-projek pembangunan yang lebih baik dalam usaha berterusan untuk memajukan negeri ini.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, kepimpinan baik yang diterapkan itu adalah hasil daripada pendekatan diambil oleh ketua-ketua menteri yang menjulang tinggi nilai integriti.

Katanya, pada 15 Januari 2015 Allahyarham Tok Nan (Pehin Sri Adenan Satem) sebagai Ketua Menteri bersama-sama barisan kabinet negeri telah mengambil pendekatan menandatangani Ikrar Integeriti.

“Pendekatan itu diteruskan oleh Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selepas dua minggu beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak dan bersama barisan kabinetnya telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah pada 25 Januari 2017,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Program Ceramah Integriti Maulidur Rasul 1442 Hijrah/2020 anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION) Jabatan Ketua Menteri dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Bintulu di Masjid Al-Amin Kuala Tatau malam kelmarin.

Justeru katanya, mengambil contoh kepimpinan baik itu maka masyarakat pelbagai peringkat termasuk ahli jawatankuasa masjid dan surau wajar meneladaninya serta turut menunjukkan integriti tinggi dalam kepimpinan mereka.

Katanya, mereka perlu mengamalkan tadbir urus yang baik dalam pengurusan sesebuah organisasi sekali gus tidak berlaku penyelewengan terutamanya dalam pengurusan kewangan dan sebagainya.

Pada masa sama Talib menyeru umat Islam agar memahami dan mengambil contoh kepimpinan dan akhlak junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam menjalani kehidupan harian yang amat menekan kepada kepimpinan yang berintegriti tinggi.

Terdahulu dalam program itu ceramah telah disampaikan oleh Pegawai JAIS Bintulu Ust Dzulhazri Japar Shedik.

Hadir sama dalam program itu isteri Talib Datin Dr Zaliha Abdullah dan Pengerusi Masjid Al-Amin Sahari Man.