SIASATAN: Anggota polis mengarahkan dua orang awam untuk keluar dari kawasan kejadian tembakan di Wauwatosa, Wisconsin. — Gambar AFP

WASHINGTON: Lapan orang cedera dalam satu kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Wisconsin, Amerika Syarikat, kelmarin, menurut polis, yang menyatakan mereka masih memburu penembak.

FBI dan pejabat Syerif Milwaukee County menciap bahawa pegawai mereka berada di tempat kejadian di Mayfair Mall di Wauwatosa, Wisconsin, untuk menyokong tindakan “aktif” oleh polis tempatan.

“Apabila kakitangan kecemasan tiba, penembak tidak lagi berada di tempat kejadian,” Jabatan Polis Wauwatosa menyebut dalam satu kenyataan.

Ia berkata mangsa yang cedera termasuk tujuh orang dewasa dan seorang remaja yang telah dikejarkan ke hospital. Keseriusan kecederaan mereka tidak segera diketahui, tetapi Datuk Bandar Wauwatosa, Dennis McBride, memberitahu berita ABC bahawa kecederaan mereka tidak mengancam nyawa.

Penembak dikenali polis sebagai seorang “lelaki berkulit putih dalam lingkungan usia 20-an dan 30-an”.

Ramai pekerja di pusat beli-belah itu mencari perlindungan di dalam bangunan ketika penembak melakukan serangan, video yang tular dalam media sosial menunjukkan.

Pelanggan Jill Wooley memberitahu sebuah stesen berita tempatan, dia berada di dalam bersama ibunya yang berusia 79 tahun ketika tembakan bergema.

“Saya tahu serta-merta bahawa ia adalah satu tembakan dan ia dilakukan bertalu-talu,” kata Wooley kepada sekutu CBS, WDJT. “Kami terus meniarap di atas lantai.”

“Saya rasa semua kita dilahirkan dengannya,” katanya. “Semua kita sudah terdedah kepada serangan tembakan awam seperti ini. Saya rasa semua kita pernah berfikir tentang apa yang kita akan buat dalam situasi seperti ini.”

“Kami tawar hati dan marah kerana tetamu dan penyewa kami mengalami insiden ganas ini pada hari ini,” syarikat yang mengusahakan pusat beli-belah itu menyebut dalam satu kenyataan.

“Kami bersyukur bagi rakan-rakan kami di Jabatan Polis Wauwatosa dan kami bekerjasama dengan mereka dalam siasatan yang dijalankan,” ia menambah. — AFP