AHMAD FUAD

TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengesahkan kejadian samun di laut membabitkan dua mangsa lelaki tempatan di perairan Inderasabah di sini.

Komander ESSCom, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata ketika kejadian mangsa berumur 30 dan 20 tahun sedang memukat di kawasan itu sebelum dihampiri tiga suspek lelaki bersenjata parang dan pistol yang menaiki sebuah bot pada 3.40 petang.

"Suspek bertindak menyamun enjin bot 15hp, kad pengenalan, wang tunai RM3 dan dua telefon bimbit daripada mangsa sebelum meninggalkan tempat kejadian.

"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa berada dalam keadaan selamat dan salah seorang daripada mereka membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurut Ahmad Fuad, kesemua suspek dengan loghat asing itu dipercayai merupakan penjenayah 'kelompok dalaman' dan masih berada di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

"Pihak ESSCom kini sedang giat mengesan kesemua suspek selepas menerima laporan daripada mangsa dan meminta orang awam memberi kerjasama sekiranya mengetahui kejadian tersebut.

Dalam pada itu, katanya tangkapan tiga suspek warga Filipina di Pulau Bum Bum, Semporna pada Selasa lalu, melalui operasi khas pasukan taskforce yang ditubuhkan ESSCom itu turut membawa kepada penyelesaikan tiga kes rompakan laut di Lahad Datu.

Terdahulu, ESSCom baru-baru ini menubuhkan pasukan taskforce bagi membanteras kes samun serta rompakan di laut ESSZONE dan ianya merupakan komitmen berterusan pasukan keselamatan dalam menangani sebarang aktiviti yang mengancam keselamatan komuniti maritim.