KUALA LUMPUR: Kes positif COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan angka empat digit dengan 1,210 lagi kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif dalam negara sebanyak 49,730.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (gambar) berkata jumlah kes pulih hari ini pula ialah 1,018 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 36,624 kes. 

Beliau berkata daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini, 19 merupakan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Penularan tempatan pula menyaksikan Sabah mencatatkan jumlah tertinggi dengan 499 kes diikuti Selangor (259), Kuala Lumpur (238), Negeri Sembilan (67), Perak (47) dan Pulau Pinang (33).

‘’Negeri lain pula ialah Kelantan (19 kes) , Johor (14), Kedah (lapan), Melaka dan Putrajaya masing-masing dua kes manakala satu kes masing-masing bagi Labuan, Sarawak dan Terenggganu,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata negeri di Lembah Klang merekodkan 518 kes positif atau 42.8 peratus daripada keseluruhan kes hari ini dan 172 kes atau 14.2 peratus adalah membabitkan kluster penjara.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula ialah 12,788 kes,” katanya.

Beliau berkata terdapat juga pertambahan lima kes kematian COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat pandemik itu di Malaysia ialah 318 kes. 

“Terdapat 105 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 40 kes memerlukan bantuan pernafasan,’’ katanya. - Bernama