KUCHING: Padah terlibat aktiviti judi dalam talian, seorang wanita dan dua lelaki warga Indonesia dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Majistret Zaiton Anuar turut menetapkan hukuman penjara bagi Adi Purwanto, 24, Sony Kurniawan, 27, dan Nagarini, 20, berkuat kuasa 7 November lalu iaitu tarikh mereka ditangkap.

Kesemua tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengendalikan aktiviti tersebut pada 7 November lalu, jam lebih kurang 9 malam di sebuah premis rumah kedai di BK Square, Jalan Batu Kawa.

Hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit salah seorang tertuduh mendapati terdapat aplikasi yang digunakan untuk menjalankan aktiviti judi dalam talian dan beberapa helai kertas bertulis angka-angka juga dipercayai digunakan untuk tujuan tersebut. 

Dalam serbuan itu, polis turut merampas lima unit telefon pintar, satu kertas senarai hasil jualan bertarikh 7 November 2020, satu buku yang mengandungi maklumat 'ID' pengguna dan wang tunai berjumlah RM547. 

Menurut laporan terdahulu, jumlah keuntungan kasar mereka mencecah sehingga RM 3,000 sehari dan waktu operasi adalah 24 jam setiap hari.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Lim Lian Kee.