KUALA LUMPUR: Akibat mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkumpul di sebuah pub tanpa penjarakan fizikal, lapan warga asing dijatuhi hukuman denda RM500 atau penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Mohamed Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap empat wanita warga Filipina - Magpayo Rowena, Villesis Lovely Garcia, Moncillermary Joy Bustillo dan Iglip Maria Lorela Juniller; wanita dan lelaki warga Perancis - Cabilling Guai Manigos dan Lotrian Fredetic Joseph; wanita warga Thailand, Namnuad Miss Sukanya dan lelaki warga Jepun, Sutani Tomohisa.

Kesemua tertuduh yang berusia antara 30 dan 40-an itu mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mereka didakwa terlibat dalam satu aktiviti terlarang dengan berkumpul dan berhimpun tanpa menjaga penjarakan fizikal di dalam kawasan tempat jangkitan yang diwartakan kerajaan di Rockafellers Kitchen & Bar, Dang Wangi, di sini, pada 12.30 tengah malam, 10 Oktober lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap kesemua tertuduh.

Mereka yang diwakili peguam Jay Moy dan Nurshafiqa Balqish Jaffri merayu hukuman ringan atas alasan sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama. - Bernama