Inisiatif seperti Geran Khas Prihatin banyak membantu usahawan PKS yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19

KUCHING: Komuniti peniaga dan usahawan antara yang paling terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan pandemik COVID-19 dilaksanakan di seluruh negara pada Mac lepas.

Menyedari kepentingan komuniti perniagaan kepada ekonomi negara, kerajaan telah melancarkan pelbagai inisiatif termasuk Geran Khas Prihatin (GKP), iaitu bantuan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang terjejas.

Rata-rata peniaga dan usahawan melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan kerana tidak mengetepikan mereka dalam menyalurkan bantuan menerusi pelbagai inisiatif agar perniagaan mereka dapat pulih seperti biasa.

GEMBIRA: Sebahagian pekerja Sarah merakamkan kenangan di hadapan premis miliknya, Beauteeq by Sarah di Sri Aman.

Pemilik Beauteeq by Sarah, Sarah Wong ternyata amat gembira dengan pengumuman mengenai bantuan kepada usahawan termasuk menerusi Belanjawan 2021 daripada Kerajaan Persekutuan yang diumumkan baru-baru ini.

“Saya sangat gembira dengan bantuan seperti Geran Khas Prihatin dan sebagainya yang diberikan oleh kerajaan ini.

“Meskipun ia mungkin bukan satu jumlah yang besar, tetapi sekurang-kurangnya ia mampu menampung balik kos secara kecil-kecilan.

“Bagi saya, bantuan yang disalurkan akan digunakan untuk menampung kos perniagaan, selain membayar pembekal kepada produk perniagaan saya,” katanya kepada Utusan Borneo, kelmarin.

Sarah yang mengendalikan jualan runcit kosmetik, tudung, pakaian wanita dan banyak lagi di Sri Aman berkata, seperti usahawan lain beliau menanggung kerugian akibat pelaksanaan SARAHPKP lalu.
 
Katanya, banyak barangan untuk jualan seperti beg dan kasut rosak akibat serangga, kosmetik yang sudah tamat tempoh dan banyak lagi.

“Pada masa yang sama saya juga perlu membayar kos operasi dan hutang kepada pembekal. Oleh itu, kami amat gembira dengan pengumuman bantuan kera-jaan yang sedikit sebanyak membantu meneruskan operasi perniagaan kami,” katanya.

Menurut Sarah, perniagaannya ditubuhkan pada 2015 dengan dua cawangan di bandar Sri Aman.

Namun katanya, salah satu cawangan itu terpaksa ditutup akibat tidak mampu membayar sewa kedai semasa PKP pada Mei lalu.

Sementara itu, peniaga yang turut menerima bantuan kerajaan, Kho Yak Teck berkata beliau amat gembira dan berasa bertuah kerana menerima bantuan daripada kerajaan yang meringankan beban perniagaannya.

Pemilik Phonework Mobile Center yang menjalankan perniagaan menjual telefon bimbit itu berkata, beliau akan menggunakan bantuan seperti GKP dan Program Subsidi Upah (PSU) bagi menampung kerugian perniagaannya sebelum ini.

“Saya amat gembira dan berasa bertuah atas bantuan yang diberikan dan saya akan menggunakan bantuan ini pastinya untuk menampung kerugian dialami dalam perniagaan.

“Susulan pelaksanaan PKP, perniagaan seperti kami pastinya tiada pendapatan dan pada masa sama masih perlu menampung kos sewa, gaji dan perbelanjaan,” katanya menceritakan cabaran yang ditempuhinya.

Justeru katanya, bantuan yang diberikan amat wajar bagi mereka untuk meneruskan kelangsungan perniagaan dalam masa yang sukar ini.

Bagi Lau Sei Kwong, pemilik syarikat berasaskan pengiklanan, beliau amat bersyukur dengan bantuan diberi kerajaan termasuk seperti Program Subsidi Upah (PSU) yang telah banyak membantu syarikat dan pekerjanya.

Katanya, beliau menerima bantuan pada bulan April dan berjaya memberikan gaji penuh kepada semua 27 pekerja.

“Saya telah membayar semua pekerja kami dengan gaji penuh sejak bermulanya PKP. Satu-satunya perkara yang mereka tidak terima adalah bonus tahunan.

“Kami mengalami banyak kerugian kerana terpaksa tutup susulan wabak yang melanda tetapi kami masih bertahan sehingga kini dan, kami menganggap diri kami bertuah. Untuk itu saya bersyukur atas bantuan dan subsidi diberikan,” katanya.

Katanya kini hasil pendapatan perniagaannya jauh berbeza seperti sebelum ini meskipun telah beroperasi kembali, perniagaan tersebut masih mengalami kerugian 30 peratus.

LAU

Pada masa ini, operasi perniagaan kembali normal dan Lau berharap akan mendapatkan lebih banyak pelanggan seperti sebelum wabak itu bermula.

Kerajaan telah mengumumkan beberapa bantuan termasuk kepada para peniaga dan usahawan yang terjejas akibat COVID-19 termasuk GKP kepada peniaga yang layak.

Selain GKP kerajaan juga memperkenalkan PSU yang membantu majikan meneruskan operasi dan mengekalkan pekerja mereka selepas terkesan akibat penularan wabak COVID-19 dan pada masa sama bertujuan membantu pekerja dalam golongan B40.

PSU adalah peruntukan kerajaan yang disalurkan melalui PRIHATIN untuk majikan, sekali gus membantu pekerja yang berpendapatan RM4,000 ke bawah mengekalkan pekerjaan mereka.

TERUS BERTAHAN: Premis milik Lau beroperasi kembali hasil bantuan kerajaan. LAU Sementara