Abang Johari ketika sesi penggulungan Belanjawan Sarawak 2021 hari ini. - Gambar ihsan Jabatan Penerangan

KUCHING: Seramai 82,000 ketua isi rumah (KIR) dan 40,000 individu bujang yang tercicir yang telah membuat rayuan dan memenuhi kriteria akan menerima Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS). 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang prihatin dengan masalah rakyat telah membuka ruang untuk mereka yang tercicir daripada bantuan ini untuk membuat rayuan. 

"Berdasarkan rayuan yang diterima pada tarikh tutup 31 Mei 2020, seramai kira-kira 82,000 ketua isi rumah dan 40,000 individu bujang B40 memenuhi kriteria yang telah ditetapkan dan layak mendapat bantuan ini. 

"Oleh yang demikian, saya dengan sukacitanya mengumumkan bayaran khas RM250 sebulan untuk tempoh 6 bulan kepada 82,000 ketua isi rumah B40 yang telah berjaya dalam rayuan. 

"Sebahagian pembayaran akan dibuat dalam tahun ini dan selebihnya pada tahun hadapan," katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan Sarawak 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. 

Tambah Abang Johari, manakala 40,000 individu bujang B40 yang berjaya dalam rayuan akan dibayar secara sekali bayar RM500. 

"Pembayaran akan dibuat pada bulan Disember 2020," ujarnya lagi. 

Jelasnya, melalui kelulusan ini, secara keseluruhannya, Kerajaan GPS Sarawak membelanjakan sejumlah RM943 juta yang mana RM800 juta telah dibayar melalui senarai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). 

"Manakala RM143 juta akan dibayar kepada 82,000 ketua isi rumah dan 40,000 individu bujang B40 yang tercicir tetapi layak menerima bantuan ini. 

"Ini bermakna di bawah BKSS Kerajaan GPS membayar sejumlah RM943 juta kepada 479,000 ketua isi rumah dan 432,000 individu bujang B40, iaitu 921,000 rakyat Sarawak, yang tertinggi bantuan dalam kalangan negeri-negeri dan kedua terbesar selepas bantuan Prihatin Nasional," katanya. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan GPS telah membayar sejumlah hampir RM800 juta kepada 397,000 isi rumah dan 392,000 individu bujang B40 yang layak mendapat BKSS B40.  

Menurut beliau, bantuan ini telah mengurangkan beban kewangan mereka dalam menghadapi kesusahan akibat penularan pandemik COVID-19.