Wee menerima cenderamata penghargaan daripada Tze Khang (dua kanan) sambil disaksikan King Sing (kiri) dan Presiden bahagian CSR SCIB, Dayang Norasmah Abang Talhata (kanan) semasa lawatan kempen derma darah di sini, hari ini.

KUCHING: Lebih ramai anak muda khasnya di Kuching digalakkan menyertai atau menderma darah dalam kempen yang dianjurkan, kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng.

Beliau berkata, dengan menderma darah dalam kalangan muda, ia bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa tetapi ia juga satu aktiviti sihat yang perlu diamalkan mereka.

"Kita berharap lebih ramai anak muda kita tampil bersama menderma darah dan jadikan menderma darah ini sebagai satu amalan kerana anda boleh menderma sekali setiap dua bulan.

"Saya merasakan ramai anak muda kita yang lebih bertenaga dan sihat untuk mengambil bahagian dalam kempen sebegini dengan syarat mereka haruslah sihat serta 18 tahun ke atas," katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan Kempen Derma Darah anjuran bersama Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) dan Bulan Sabit Merah (MRC) Sarawak dan Bank Darah Hospital Umum Sarawak (HUS), hari ini.

Wee berkata, malahan dengan menderma darah ia juga menjadi sesuatu yang amat bermakna kepada komuniti selain sesuatu yang bermanfaat untuk mereka.

Selain itu beliau turut memberi jaminan tempat penganjuran kempen derma darah, iaitu Dewan Masyarakat MBKS adalah selamat dan selesa kepada penderma, yang sentiasa di sanitasi sebelum dan selepas digunakan.

"Ekoran kebimbangan mengenai wabak COVID-19 yang sedang berlaku seluruh dunia, ramai yang takut untuk pergi ke tempat seperti Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menderma darah.

"Maka itu kami di MBKS berbesar hati menyediakan tempat penganjuran seperti ini dewan ini," katanya sambil memberitahu ia juga menyediakan tempat letak kereta yang banyak bagi menampung kehadiran penderma yang tampil.

Beliau pada masa yang sama menyampaikan penghargaan kepada SCIB menerusi pasukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka yang julung kalinya mengadakan kempen dengan kerjasama Tabung Darah HUS dan MRC Sarawak.

Hadir sama mengiringi Wee, Pengarah MRC Sarawak, Chai King Sing dan ketua pegawai operasi SCIB, Chai Tze Khang.

Bagi mereka yang mahu tampil atau menderma darah atau menyumbang barangan kepada MRC boleh menghubungi cawangan Sarawak menerusi talian 082-428228 atau layari Facebook MRCSarawak.