Gambar fail menunjukkan Abang Johari pada majlis pengumuman BKSS.

KUCHING: Senarai pertama penerima yang layak bagi insentif Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bagi isi rumah B40 adalah berdasarkan kepada senarai Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). 

Pejabat Ketua Menteri menerusi kenyataan berkata ini adalah sebab mengapa ada banyak keluhan daripada mereka yang layak bagi BKSS tetapi tidak disenaraikan. 

Tambahan katanya, terdapat juga permintaan dari individu bujang Sarawak bagi bantuan ini kerana mereka juga terjejas akibat pandemik COVID-19. 

Sebagai tindak balas, Kerajaan Sarawak  membuka rayuan bagi isi rumah dan individu bujang B40 yang layak yang mana telah ditutup pada 31 Mei 2020. 

“Pada 19 Jun 2020, kami menerima senarai BSH 2020 dari LHDN bagi 369,139 isi B40 yang layak dan 419,395 individu bujang Sarawak B40 yang layak. 

“Selepas itu, kami dapat mengesahkan senarai rayuan untuk menampung mereka yang layak tetapi tidak disenaraikan dalam BKSS untuk 53,472 isi rumah dan 147,501 individu bujang Sarawak B40. 

“Jumlah perbelanjaan yang diperlukan adalah RM80.21 juta bagi isi rumah B40 dan RM73.75 juta bagi individu bujang B40 Sarawak yang mana akan dibayar pada hujung Julai 2020,” katanya. 

Setakat 30 Jun 2020, jumlah perbelanjaan Kerajaan Sarawak bagi BKSS 1.0, BKSS 2.0 dan BKSS 3.0 adalah RM1,451.99 juta dan  telah membayar sejumlah RM745.612 juta tunai setakat ini bagi program BKSS 2020. 

Terdahulu dalam kenyataannya, Pejabat Ketua Menteri berkata inisiatif BKSS 2020 ini merangkumi insentif bagi isi rumah B40 yang layak dengan pendapatan dibawah RM4,000 sebulan, individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas dengan pendapatan RM2,000 sebulan dan lain-lain insentif bayaran tunai. 

Objektif utama BKSS 2020 adalah untuk meringankan beban rakyat termasuk industri dan entiti perniagaan semasa krisis pandemik COVID-19. 

Pendekatan yang diambil termasuklah bantuan tunai, penangguhan bayaran balik pinjaman, faedah percuma pinjaman mudah bagi perusahaan kecil dan sederhana, insentif bulanan bagi petugas barisan hadapan dan diskaun ke atas bil utiliti bagi pengguna di Sarawak. 

“Semua inisiatif ini telah memanfaatkan kumpulan sasar. Kerajaan Sarawak menerima banyak maklum balas positif dari penerima yang membolehkan rakyat meringankan beban kewangan mereka. 

“Bagaimanapun Kerajaan Sarawak juga menerima beberapa komen negatif dari mereka yang merasa bahawa mereka layak menerima bantuan tetapi tidak disenaraikan terutama dari kalangan isi rumah B40 dan individu bujang B40,” katanya. 

Dalam pada itu setakat 17 Julai 2020, seramai 406,234 penerima isi rumah B40 berdasarkan senarai BSH 2019 telah menerima bayaran dengan perbelanjaan berjumlah RM304.68 juta. 

Manakala 78,123 isi rumah B40 berdasarkan senarai BSH 2020  masih belum menerima bayaran dan akan dibayar hujung Julai 2020 dengan anggaran perbelanjaan RM117.18 juta. 

Bagi insentif individu bujang B40 pula, setakat 17 Julai seramai 114,683 penerima telah dibayar dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM57.21 juta. 

Manakala seramai 270,863 individu bujang B40 lagi masih belum menerima bayaran dan akan dibayar pada hujung Julai 2020 dengan anggaran perbelanjaan RM135.43 juta. 

Bagi insentif khas bulanan untuk petugas barisan hadapan COVID-19, seramai 29,464 petugas telah menerima bayaran RM200 sebulan bagi tempoh April hingga Jun 2020 dengan perbelanjaan berjumlah RM12.64 juta. 

Kerajaan negeri juga telah membayar insentif kepada seramai 15, 829 penjaja dan peniaga kecil menerusi Sarawak Pay dan Bank Simpanan Nasional (BSN). 

Insentif untuk pemilik dan pengusaha penambang berdaftar pula, setakat 17 Julai 2020 seramai 149 penambang telah dibayar dengan perbelanjaan berjumlah RM74,500. 

Setakat 17 Julai 2020 juga, seramai 840 pemandu teksi telah menerima insentif dengan perbelanjaan berjumlah RM504,000.99 manakala seramai 236 pemandu pelancong dan pemandu taman berlesen sudah menerima bayaran insentif dengan perbelanjaan berjumlah RM354,000.