KUCHING: Tiada lagi kompromi, polis akan menangkap mereka yang masih ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail (gambar).

Menurutnya, penguat kuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tersebut terpaksa diambil susulan masih ramai yang berdegil dan dengan sengaja melanggar perintah tersebut.

Tegasnya, mana-mana yang ditangkap akan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Polis telah banyak beri peluang dan budi bicara dengan menasihati mereka agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini. Sekiranya orang ramai masih berdegil dan dengan segaja melanggar arahan akan ditangkap dan didakwa," tegasnya dalam satu kenyataan.

Jika ada yang dengan sengaja menghalang mana-mana penjawat awam melaksanakan tugas sepanjang perintah kawalan ini juga akan ditangkap.

"Sekiranya ditangkap akan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali," jelasnya.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa untuk menangkap orang awam yang masih berada di luar tanpa kelulusan pihak berkuasa selepas jam 7 malam.