Kepimpinan merupakan kebolehan seseorang mengetuai sekelompok orang untuk sama-sama bekerja dan merealisasikan suatu visi yang dikongsi bersama.

Bunyinya mudah, dan konsep ini sepatutnya senang diaplikasikan dalam sesuatu perniagaan dan organisasi. Susah sangat ke nak memimpin orang lain?

Meneliti pemahaman berkenaan kepimpinan yang cekap, kuncinya ialah ‘manusia’. Kerja memimpin ini rumit dan serba macam kerana manusia hakikatnya rumit dan serba macam.

Kita semua berbeza, dengan kemahiran tertentu, serta kekuatan, kelemahan, cara berkomunikasi, persepsi, pendapat, idea, kegemaran dan perkara yang kita tidak suka.

Kita juga ada keperluan yang berbeza, serta berkembang maju dan membangun pada kadar yang berbeza. Sebahagian daripada kita jenis ekstrovert penuh semangat; ada yang jenis introvert dengan rasa ingin tahu; dan sebahagian daripada kita memiliki personaliti ambivert.

Dalam menerajui pengikut untuk mencapai matlamat dan objektif, pemimpin yang kurang cekap selalu mengambil ringan nuansa setiap personaliti serta mengetepikan dinamik dan keharmonian yang sihat bagi sesebuah pasukan.

Pemimpin yang kurang cekap mempunyai pandangan bahawa kakitangan dibayar untuk melaksanakan kerja, jadi mereka perlu bergerak dan menyiapkan kerja, tanpa menyelami pemikiran, perasaan dan keperluan pekerja.

Pendekatan sebegini kurang membuahkan hasil. Pekerja mungkin membuat kerja seperti yang disuruh, namun kebanyakannya melaksanakan kerja atas dasar patuh arahan, tidak lebih daripada itu.

Dalam usaha memperoleh yang terbaik daripada setiap pekerja, pemimpin yang cekap menjalin hubungan yang kukuh dengan ahli pasukan. Mereka menzahirkan keberanian dalam memimpin, berkomunikasi secara terbuka dan jujur, serta mampu menyuntik inspirasi dan memberi dorongan kepada para pengikut.

Profesor Daniel Goleman merupakan seorang pakar kepimpinan dan kecerdasan emosi yang diiktiraf di seluruh dunia. Menggunakan istilah kepimpinan primal, dia menyebut,

“PEMIMPIN HEBAT MENYENTUH HATI. MEREKA MENYEMARAKKAN NYALA RASA DAN MENYUNTIK INSPIRASI DENGAN CARA YANG TERBAIK.”

“Apabila kita meneroka faktor yang menjadikan mereka begitu cekap, kita membicarakan soal strategi, visi, dan idea hebat. Namun realitinya lebih mendalam.  Hakikatnya, kepimpinan yang hebat terserlah melalui emosi.”

Tidak kira apa pun peranan pemimpin, sama ada merangka strategi atau menggerakkan ahli pasukan supaya bertindak, kejayaan mereka bergantung pada cara mereka mengerjakannya.

“Sekalipun mereka berjaya menjayakan sesuatu urusan, sekiranya pemimpin gagal dalam tugasan primal ini, iaitu mendorong emosi melalui hala tuju yang betul, tiada apa pun yang akan terlaksana seperti yang dijangka.”

Apakah yang menjadikan seseorang pemimpin yang cekap?

Dalam usaha menjadi pemimpin yang cekap, pokok pangkalnya kita perlu memahami erti kepimpinan. Pendek kata, kita boleh katakan kepimpinan ialah kebolehan seseorang mempengaruhi orang lain.

Namun yang lagi penting, pemimpin yang cekap mempengaruhi orang lain tetapi masih memelihara integriti. Mereka juga sedar bahawa tugas sebagai pemimpin dan pengurus memerlukan pendekatan yang nyata berbeza dalam mempengaruhi orang lain.

Pemimpin yang cekap menjalin hubungan

Mereka tidak mengasingkan diri daripada orang lain, dan memimpin melalui teladan, supaya dapat memupuk sikap ‘kita boleh’ dalam kalangan pengikut.

Mereka memahami kuasa bebas memilih, bahawa golongan yang memilih untuk mengikut seseorang pemimpin akan lebih bersemangat dalam merealisasikan matlamat bersama, dibandingkan golongan yang terpaksa mengikut arahan pemimpin yang kurang cekap.

Teras bagi sesebuah perniagaan dan projek melibatkan hubungan yang terjalin antara pemimpin dan pengikut, sebab itulah penting untuk mana-mana pemimpin yang berketrampilan menyedari dan menghargai personaliti yang berbeza-beza dalam pasukan.

Nak tak nak, hal ini terbukti berharga apabila timbul konflik antara ahli pasukan. Ini kerana pemimpin yang cekap mempunyai ilmu penuh di dada tentang ahli pasukan, jadi mereka lebih bersedia merungkai sebarang isu yang melanda.

Dalam pasaran hari ini, kita tidak boleh lari daripada situasi kerja yang menempatkan kakitangan daripada pelbagai generasi untuk menggembleng tenaga dalam satu pasukan. Realiti ini menguatkan kepentingan untuk meraikan perbezaan dan mengambil tahu perspektif yang berbeza daripada setiap generasi dalam kalangan pemimpin.

Dengan berbuat demikian, pemimpin yang cekap mampu berhubung dengan segenap komuniti dalam pekerjaan dengan lancar, serta meraih pengaruh, disegani ramai, diterima dan mampu memelihara perpaduan dalam kalangan ahli pasukan.

Pokok pangkalnya, sekiranya pemimpin mahu menjalinkan hubungan dan mengekalkan hubungan yang baik dengan pengikut, hal ini bergantung pada sejauh mana mereka mengamalkan sikap positif ketika memimpin.

Pemimpin yang cekap menyuntik inspirasi dan memberi dorongan

Buat insan yang berupaya untuk terus menyuntik inspirasi, memberi dorongan dan mempengaruhi orang lain, mereka sedar akan nilai menjadi positif dalam membina dan mengekalkan hubungan yang berpaksikan kepercayaan dan rasa hormat antara pemimpin dengan pengikut masing-masing.

Dalam persekitaran kerja yang terbina atas dasar kepercayaan yang kukuh, kajian menunjukkan persekitaran sebegini merangsang peningkatan produktiviti dan inovasi, bukan itu sahaja, hal ini turut menggalakkan sokongan dan galakan antara ahli pasukan yang sudah menganggap rakan sekerja sebagai ahli keluarga, jadi hal ini terserlah semasa mereka bekerja bersama-sama.

Cuba bandingkan persekitaran yang ideal ini dengan tempat kerja yang ‘bertoksik’ apabila rakan sekerja cuba bersaing antara satu sama lain sehingga menyebabkan mereka terjerumus dalam situasi yang tidak sihat seperti politik di tempat kerja atau mencari kesempatan untuk ‘menjatuhkan pihak lain’ dalam usaha ‘mengipas bos’.

Semua ini tidak sihat, sama ada bagi individu yang terlibat sehinggalah perniagaan itu sendiri secara keseluruhan.

Pemimpin yang cekap mampu mewujudkan persekitaran yang memupuk tingkah laku dan sikap yang sihat dalam kalangan pekerja, supaya dapat mendatangkan manfaat kepada perniagaan.

Mereka menyemai sikap peka dengan keadaan sekeliling dalam kalangan pekerja melalui kecerdasan emosi, dan mampu menyelami hati pengikut supaya anak buah mereka mampu mencapai potensi yang sebenar-benarnya dan memberi yang terbaik dalam usaha mencapai matlamat dan objektif yang dikongsi bersama.

Pemimpin yang cekap bersikap proaktif

Bukan itu sahaja, pemimpin yang cekap sedar bahawa mereka perlu terus memperbaiki sikap, tingkah laku dan kemahiran diri.

Sedangkan pemimpin yang kurang cekap merasakan mereka sudah ‘mencapai cita-cita’, disebabkan pangkat dan gaji yang besar. Namun pemimpin yang cekap sedar bahawa jika mereka ingin berkembang maju dan membangunkan bakat-bakat lain supaya mampu menjadi sehabis baik, mereka sendiri perlu menempuh perjalanan yang sama untuk berkembang maju dan membangunkan diri sendiri.

Hal ini memerlukan keberanian untuk keluar daripada zon selesa, agar dapat terus belajar dan menambah baik diri sendiri kerana keperluan perniagaan dan industri sudah mula berubah, berpunca daripada evolusi tanpa henti dalam pasaran hari ini.

Berkaitan: 

Dalam usaha untuk terus menambah baik diri sendiri, pemimpin yang cekap sentiasa memberi perhatian pada suatu aspek ini, iaitu cara untuk menangani stres dengan berkesan.

Seperti yang diketahui oleh para pemimpin yang terbilang, amat penting untuk seseorang mengenal pasti tanda-tanda yang menjurus kepada stres lalu mengambil masa untuk berehat daripada kerja dengan bermuhasabah diri, bersenam, bermeditasi, serta meluangkan masa dengan keluarga dan rakan-rakan.

Pemimpin yang pernah terlibat dalam program latihan yang berkesan sudah tentu arif dan bersetuju bahawa menangani stres merupakan aspek yang sangat penting, kerana jika kita tidak reti menjaga diri sendiri, kita bakal berhadapan dengan akibat buruk daripada apa pun jua langkah yang kita ambil.

Akhir kata

Usaha menjadi pemimpin yang cekap melibatkan cabaran yang rumit dan serba macam. Namun pada masa yang sama, sekiranya pemimpin mempunyai alat dan sumber yang bertepatan untuk melaksanakan peranan dengan baik, tiada yang lebih penting daripada kemampuan untuk menyuntik inspirasi, memberi dorongan dan mempengarui orang lain bagi menggapai visi yang dikongsi bersama.

Dalam perniagaan, keuntungan diutamakan. Namun keupayaan untuk memimpin bagi mencapai tujuan tertentu dan membantu orang lain mencapai matlamat yang bermakna turut diberi penekanan. Ia adalah seperti mana kita menitikberatkan usaha membina kejayaan, memperkasa orang lain, serta membina legasi yang boleh terus mendatangkan manfaat kepada perniagaan dan pelanggan.

Sumber