35.4% daripada jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan
KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), telah menjual 112,500 kenderaan dalam tempoh tujuh bulan bermula dari Januari tahun ini.
Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dr Zahari Husin dalam satu kenyataan semalam berkata, angka tersebut mewakili kira-kira 35.4 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan iaitu sebanyak 317,900.
Model terbaharunya, Bezza telah mendapat tempahan melebihi 25,000 unit sejak dibuka pada 16 Julai.
Lebih daripada 2,600 kereta telah dihantar dalam tempoh 10 hari pelancaran dan 7,400 unit lagi akan dibuat menjelang Ogos.
Zahari berkata daripada 10,000 Bezza pertama yang dijual, 44 peratus adalah model 1.3 liter Advanced Version dengan transmisi automatik, Premium X 1.3 liter transmisi automatik (43 peratus), Premium X 1.3 liter transmisi manual (tiga peratus), 1.0 liter transmisi automatik (satu peratus) dan 1.0 liter transmisi manual (satu peratus).
Dengan harga bermula daripada RM37,300 hingga RM50,800, model tersebut datang dalam enam warna yang berbeza, iaitu sugar brown, ocean blue, lava red, ebony black, glittering silver dan solid ivory white.
Sama seperti model Axia, Bezza dikeluarkan dari kilang pengeluaran dengan pensijilan kenderaan cekap tenaga (EEV) yang pertama di Malaysia, ia kendalikan oleh Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd di Sungai Choh, Rawang, Selangor.
— Bernama