TERMETERAI: Ismawi (dua kiri) mewakili Sarawak manakala Xinwuan Steel diwakili Wan Wenan (tiga kiri) dan Cheng Changan (lima kiri) mewakili MCC Overseas menandatangani dokumen MoU di Handan City di Wilayah Hebei Jumaat lalu.
S’wak tandatangani MoU dengan Hebei Xinwuan Steel Group dan MCC Overseas Limited
HUBEI: Sarawak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Hebei Xinwuan Steel Group dan MCC Overseas Limited bagi melaksanakan kajian awal untuk membangunkan loji keluli yang terbesar di negeri ini.
Cadangan projek bersepadu bernilai RM13 bilion (AS$3 bilion) itu akan ditempatkan di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) di Taman Industrial Samalaju di Bintulu.
Projek ini jika menjadi kenyataan, merupakan projek pelaburan asing langsung terbesar yang pernah dilaksanakan di Sarawak.
Acara menandatangani MoU itu diadakan di Handan City di Wilayah Hebei oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ismawi Ismuni bagi pihak Sarawak manakala XinwuanSteel diwakili presidennya Wang Wenan dan MCC Overseas diwakili naib presidennya Cheng Changan.
Ia disaksikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Pembangunan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan (MEITI) Datuk Liaw Soon Eng, Naib Presiden Xinwuan Gao Wei dan wakil MCC Overseas.
Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak menyambut baik minat dan komitmen daripada syarikat-syarikat dari China mengembangkan pelaburan ke luar negara dengan memilih Sarawak.
“MoU ini menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk memudahkan kajian dilaksanakan seterusnya menjayakan projek pembinaan loji. Ini merupakan satu lagi mercu kejayaan dalam usaha mengeratkan hubungan perdagangan antara Sarawak dan China,” katanya.
Pada 2015, jumlah dagangan antara China dan Malaysia adalah RM230.8 bilion dan daripada jumlah tersebut RM11.9 bilion disumbangkan Sarawak.
“Memang masih banyak ruang untuk China dan Sarawak untuk meningkatkan perdagangan dua hala dan pelaburan,” kata Awang Tengah.
Melalui SCORE, Sarawak dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan yang baik antara 4 hingga 5 peratus setahun dalam tempoh lima tahun akan datang.
“SCORE menawarkan banyak peluang dan China boleh mengambil bahagian dalam SCORE terutamanya dalam industri aluminium, keluli, berasaskan minyak, kaca, kelapa sawit, perikanan dan akuakultur, ternakan, berasaskan kayu, kejuruteraan marin dan pelancongan,” katanya.